Selangor mohon RM1.2 bilion laksana tebatan banjir di Hulu Langat, Sungai Buloh - Utusan Malaysia

Selangor mohon RM1.2 bilion laksana tebatan banjir di Hulu Langat, Sungai Buloh

Tebatan banjir
IZHAM Hashim bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Pam Tambahan Pintu Air Taman Sri Muda di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri membuat permohonan peruntukan baharu bagi pembinaan tebatan banjir di Hulu Langat dan Sungai Buloh sebagai projek yang dikategorikan sebagai berkeutamaan tinggi berjumlah keseluruhan RM1.2 bilion.

Projek tersebut dijangka memakan masa selama lima tahun melibatkan Rancangan Tebatan Banjir Langat 2 bernilai kira-kira RM500 juta dan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Buloh Fasa 2 berjumlah RM780 juta.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, kedua-dua projek tersebut dikategorikan sebagai berkeutamaan tinggi apabila ia melibatkan kawasan yang padat dengan penduduk serta terletak di lembangan sungai besar.

“Sangat kritkal kedua-dua tersebut kerana melibatkan projek tebatan di kawasan lembangan sungai yang agak luas. Kalau dapat kelulusan, kita akan terus dilaksanakan reka bentuk dan sebagainya.

“Kita ada secara dasarnya untuk dilaksanakan, tetapi perinciannya dan perolehan biasanya bagi projek keutamaan tinggi akan diberi secara langsung kontraknya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Rumah Pam Tambahan Pintu Air Taman Sri Muda, hari ini.

Tambahnya, terdapat projek-projek tebatan banjir sudah pun diluluskan dan sedang dalam fasa reka bentuk dan perincian lain untuk pelaksanaan melibatkan kawasan seperti di Dengkil dan Bukit Changgang, Sepang serta Meru, Klang.

“Tempat-tempat itu semua akan diberi perhatian. Ada projek melibatkan jangka panjang dan jangka pendek. Tetapi, kadang-kadang bila berlaku ramai tanya kenapa masih banjir, projek baru hendak mula, banjir boleh selesai tak?

“Memang boleh selesai, tetapi jangka panjang. Jangka pendeknya kita ambil langkah-langkah bersihkan (saluran air), letak pam muda alih dan sebagainya. Peringkat jangka panjang, kita ada projek-projek di peringkat Persekutuan, negeri dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT),” ujarnya.

Dalam pada itu Izham turut memaklumkan projek tebatan banjir termasuk kerja menaik taraf parit dan longkang di kawasan Meru dan Kapar Kecil sudah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM220 juta.

Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan parit-parit dimiliki pemilik tanah menyebabkan kerja penyelenggaraan tidak dapat dilakukan menjadi punca utama kepada kejadian banjir yang kerap berlaku di kawasan tersebut.

“Tak betul juga sebenarnya, kita dan pihak MBDK memang dalam proses menaik taraf sebahagian daripada longkang dan parit, tetapi peribadi itu ada juga kita berurusan dengan tuan tanahnya, tetapi itu bukan punca utama (banjir).

“Projek pun kita dapat RM220 juta untuk Rancangan Tebatan Banjir di Kapar Kecil, reka bentuk dan pelaksanaannya sedang diperincikan, itu pun sudah ada kontraktornya, akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Itu pun akan membantu mengurangkan risiko banjir termasuk dekat Alam Budiman yang sedang berjalan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN