SEPANG: Seorang mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar menceritakan kisah peritnya apabila dijadikan bagai `barang dagangan’ beberapa sindiket di negara itu.
Tan (bukan nama sebenar) berusia awal 30-an dan berasal dari Kajang, Selangor berkata, dalam tempoh setahun `didagangkan’ hidupnya menderita kerana turut didera sindiket jenayah tersebut.
“Semua ahli geng kumpulan bersenjatakan pistol dan saya gagal berhubung dengan dunia luar menyebabkan saya susah hendak meminta bantuan,” katanya kepada pemberita ketika tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam tadi.
Kepulangan Tan yang masih bujang, disambut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamudin Hashim.
Mengulas lanjut, Tan mengakui tidak sedar ditipu oleh rakan baiknya yang memujuknya berhijrah ke Thailand dengan ditawarkan dengan gaji besar.
“Rupanya saya dijual kepada sindiket sejurus sampai di Bangkok dan dibawa menaiki kereta ke Maesot sebelum diseludup memasuki Myanmar,” katanya.
Selain itu, katanya, dia turut dikerah bertugas sebagai ejen panggilan penipuan atas talian palsu dengan sasaran pelanggan di Malaysia serta negara serantau.
Ceritanya, jika gagal memenuhi sasaran dia dipukul dengan teruk bahkan dijual kepada beberapa geng pemerdagangan lain.
Bagaimanapun, jelas Tan nasib menyebelahi dirinya ketika digadai kepada satu sindiket di Segi Tiga Emas Laos selepas dibawa masuk secara haram dari Tachileik, Myanmar.
“Dari situ, saya dapat menghubungi MHO yang bertindak pantas melarikan saya dengan sebuah kereta sebelum menaiki bot menyeberangi sempadan ke Thailand,” kata Tan yang sangat bersyukur kerana masih ada peluang pulang ke Malaysia.
Sementara itu, aktivis MHO, Azirul Syafiq Sazali berkata, pihaknya memang ada ejen di kawasan Sungai Mekong tersebut yang turut dikenali ramai sebagai Zon Ekonomi Eksklusif.
Badan bukan kerajaan itu katanya, menganggarkan terdapat seramai kira-kira 200 warga Malaysia yang berada di sana setelah diseludup dari Myanmar kerana isu konflik perang saudara.
Misi khas menyelamatkan mangsa terbabit sedang giat diusahakan kerana MHO percaya mereka akan dipindah pula oleh kumpulan penjenayah itu pergi ke Kemboja selepas ini.- UTUSAN










