Di kala ramai memuji dan tumpang gembira dengan penampilan Nora Danish yang kini berhijab manis, rupanya ada sekelompok manusia yang berhati hitam terhadap pelakon tersebut.
Cik Bunga dengar, ada juga kalangan orang industri hiburan ini yang bagaikan sedang ‘bertaruh’ kemungkinan Nora akan kembali dengan imej free hair dan tidak akan bertahan dengan imej muslimah.
Aduhai, ada juga orang begini. Bagi Cik Bunga, tak baiklah buat macam itu. Apa yang anda semua kirkan? Nora sendiri pun sudah katakan yang dia sudah terbuka hati untuk memakai tudung demi kebahagiaan diri.
Itu yang dia cari selama ini dan baru temui. Ini adalah jalan yang dia mahu demi reda Ilahi. Kenapa pula hendak pertikai sampai ada yang ‘bertaruh’ dia akan kembali buka tudung?
Hidayah ini milik Allah. Kita pun mungkin ada masa akan goyah dan tergelincir.
Cuma, kalau Nora sudah pegang prinsip untuk ke jalan Allah, tak akanlah kita pula tergamak mahu rosakkan hasratnya itu? Lebih baik mendoakan daripada sibuk ‘bertaruh’ macam orang tiada agama. Orang buat perkara baik pun ingin dipertikaikan.
Buat Nora, Cik Bunga doakan terus ke depan dengan langkah murni. Jangan toleh belakang dan mendengar kata-kata negatif.










