KOTA KINABALU: Sabah perlu sealiran dengan kerajaan Persekutuan pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang sekiranya ingin melihat pembangunan berterusan dilaksana di negeri ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau amat memahami keperluan di Sabah dan negeri ini banyak ketinggalan dari aspek pembangunan.
Maka, jika ingin melihat masalah pembangunan di negeri ini terus diberi perhatian maka, kerajaan negeri Sabah perlu berpakat secara baik dengan kerajaan Persekutuan.
“Jadi saya cadangkan, mana-mana pemimpin Sabah kalau menghadapi pilihan raya negeri, biar ada kerjasama erat antara negeri dan Persekutuan. Kita boleh timbang, kalau tidak timbang kita yang akan lingkup,” katanya semasa Pidato Perdana sempena Himpunan Perdana Rakyat Keadilan, semalam..
Beliau berkata, Keadilan perlu bangkit di Sabah maka keanggotaan dan ranting-ranting parti serta cabang-cabang perlu ditambah dan digerakkan agar Keadilan terus gagah dan megah di seluruh Sabah.
Katanya, berapa ramai pemimpin yang menyerang Kerajaan Perpaduan yang dikatakan tidak cukup Melayu.
Malah katanya, beliau sendiri dikatakan tidak peduli tentang orang Melayu dan sekarang beliau dikatakan cuba menjaga Sabah dan Sarawak.
“Hanya kerana kuasa kamu menunggang agama, hanya kerana kuasa kamu sanggup melaknatkan orang Islam. Itu situasi di Semenanjung. Di sini, hanya kerana kuasa, mereka menyatakan ‘kita hanya untuk Sabah’. Sabah mana? Sabah tauke balak atau Sabah untuk projek.
“Keadilan mesti bangkit untuk rakyat Sabah. Negeri ini kaya dan mempunyai potensi besar yang dikurniakan khazanah. Maka, negeri ini perlu melahirkan wakil-wakil rakyat yang bertanggungjawab. Apa untungnya kita bergaduh, siapa yang untung?,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengulangi pendirian bahawa kerajaan Persekutuan tidak bertolak ansur soal kedaulatan negara dan kedudukan Sabah yang merupakan sebahagian daripada Malaysia.
Beliau berkata, apabila Filipina membangkitkan semula tentang kedudukan Sabah, beliau menjawab isu berkenaan dengan penuh diplomatik bagi menjaga hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Filipina. – UTUSAN










