Reaktor kilang terbakar, seorang daripada 10 mangsa ditidurkan 

Reaktor kilang terbakar, seorang daripada 10 mangsa ditidurkan 

KEBAKARAN sebuah kilang dimiliki pelabur asing di Taman Perindustrian Samalaju, Jalan Pesisir Bintulu-Miri, Bintulu, Sarawak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang daripada 10 mangsa dalam kebakaran melibatkan tangki ‘Bottom Reactor’ di sebuah kilang dimiliki pelabur asing di Taman Perindustrian Samalaju, Jalan Pesisir Bintulu-Miri, Bintulu, Sarawak semalam ditidurkan selepas mengalami masalah pernafasan.

Pemangku Pengarah Bomba Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, sebanyak enam mangsa lagi hanya mengalami kecederaan ringan manakala tiga lagi dilaporkan melecur dan kini mendapatkan rawatan di zon merah Hospital Bintulu.

“Jumlah mereka yang terlibat dalam kebakaran berkenaan kekal sepuluh orang dan identiti kesemua mangsa masih belum diperolehi.

“Kesemua mereka cedera merupakan lapan kakitangan di kilang berkenaan manakala dua adalah pekerja kontrak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan maklumat awal ketua operasi kilang berkenaan, kejadian letupan dan kebakaran berlaku di train A ‘Bottom Reactor’ berkenaan.

Ujar beliau, sewaktu kejadian terdapat tiga orang berada di tingkat 6 train A manakala tujuh lagi di train B.

“Jarak train A dan train B berada dalam lingkungan 50 meter. Kebakaran itu menyebabkan gas silanetetrachloride terlepas.

“Asap yang dilepaskan mengikut arah angin dan naik ke atas selain turut melibatkan tujuh orang pekerja yang berada di train B,” jelasnya.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGOB) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian itu pada pukul 6.24 petang semalam.

Bagaimanapun, kebakaran berjaya dikawal dan dipadam Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) kilang tersebut sebelum ketibaan bomba.

Beberapa rakaman video berkaitan kejadian itu yang ditularkan di media sosial menunjukkan letupan dan bebola api yang besar di udara serta asap tebal dari kilang tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN