MELAKA: Empat individu termasuk pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan negeri direman selepas disyaki berkomplot menerima suapan bernilai hampir RM176,000, untuk meluluskan tuntutan kerja dengan butiran palsu, tahun lalu.
Majistret Mahkamah Melaka, Rafidah Che Aziz memerintahkan tiga suspek berusia 40, 50 dan 60 tahun, direman tiga hari bermula hari ini, manakala seorang lagi suspek wanita berusia 34 tahun direman sehari.
Perintah reman dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Kesemua suspek yang memakai baju lokap SPRM tiba di pekarangan mahkamah dengan diiringi anggota penguat kuasa.
Mereka ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam di Pejabat SPRM Melaka selepas disyaki menerima suapan sebagai balasan meluluskan tuntutan kerja di jabatan tersebut yang mempunyai butiran matan palsu.
Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
“Jika sabit kesalahan mereka ini boleh dikenakan hukuman denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun,” katanya. – UTUSAN










