GEORGE TOWN: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menjangkakan program ‘STI 100 on the Power of Three’ (STI 100³) yang melibatkan 100 saintis, 100 sekolah dan 100 hari pelaksanaannya akan bermula bulan ini.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, STI 100³ diadakan bertujuan menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sebelum ini meminta pihaknya menyenaraikan 100 saintis bioteknologi untuk mengadakan program bagi menarik minat murid dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan, dan Teknologi (STEM) di 100 buah sekolah.
“Program STI 100³ ini akan dimulakan pada bulan ini dan dalam tempoh 100 hari, kami akan ke 100 sekolah bagi memupuk lebih minat dan kecenderungan pelajar dalam bidang STEM.
“Kami juga telah mendapat senarai saintis yang akan menyertai program ini selain mendapat kerjasama serta kebenaran daripada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memulakan program ini,” katanya selepas merasmikan STEM Showcase 2024 peringkat negeri sempena Minggu Sains Negara (MSN) di Sekolah Menengah Persendirian Han Chiang, di sini, hari ini.
Menurut Lih Kang, semua saintis yang menyertai program ini adalah anak tempatan, dan mereka mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang, antaranya bidang angkasa, teknologi nano, bioteknologi, dan lain-lain.
“Saintis yang terlibat adalah mereka yang bertugas di lapangan dan juga berperanan sebagai penyelidik dengan pelbagai latar belakang kepakaran.
“Program sebegini memang akan membawa manfaat kepada negara, sebab itu kami laksanakan dengan cepat selaras dengan hasrat Perdana Menteri.
“Program STI 100³ juga selari dengan program sedia ada yang kita ada seperti STEM Camp. Malah, MSN juga sedang berlangsung. Jadi, ia amat bersesuaian untuk menarik minat pelajar dalam bidang STEM,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Lih Kang berkata, MOSTI menyasarkan lebih 600,000 peserta akan menyertai Minggu Sains Negara (MSN) berdasarkan sambutan yang amat menggalakkan kali ini.
“Pelaksanaan MSN ini adalah selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
“MSN adalah program pelengkap kepada kurikulum sedia ada yang disediakan oleh KPM, khususnya dalam pembudayaan STI yang bersifat luar darjah melalui pendekatan secara langsung daripada pakar dan pengamal STI,” katanya.-UTUSAN










