Prihatin, UiTM kerjasama bantu mahasiswa di seluruh kampus - Utusan Malaysia

Prihatin, UiTM kerjasama bantu mahasiswa di seluruh kampus

Prihatin UiTM
SAHOL Hamid Abu Bakar (kiri) dan Shahrin Sahib Sahibuddin menunjukkan MOU yang ditandangani berhubung perjanjian kerjasama antara Prihatin dan UiTM, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) menjalin kerjasama melalui pemeteraian perjanjian persefahaman (MOU) dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk membantu kemandirian mahasiswa sepanjang pengajiannya.

UiTM merupakan universiti ke-16 dibantu yayasan tersebut untuk meringankan beban mahasiswa dalam kalangan asnaf yang dilakukan sejak 2010 lagi melalui program Mengubah Destini Anak Bangsa di institusi pengajian tinggi itu.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Prihatin, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, pada tahun lalu lebih RM10 juta dibelanjakan oleh yayasannya bagi membantu mahasiswa termasuk pemberian bantuan tunai, makanan serta keperluan pembelajaran.

“Sebenarnya lama dibuat perancangan bagaimana Prihatin sebagai sebuah NGO yang banyak membantu asnaf sama ada mahasiswa atau orang miskin, orang sakit, itu tujuannya dan kami pun sebagai NGO menjana pendapatan sendiri dan menyalurkannya (melalui sumbangan).

“Kita sudah tandatangan ataupun kerja dengan 16 lagi universiti awam dan swasta, UiTM adalah yang ke-16, tujuannya dengan ikhlas membantu asnaf dan asal usul program prihatin bermula pada 2010 di UiTM sebagai Mengubah Destini Anak Bangsa,” katanya kepada pemberita pada Majlis Tandatangani MOU antara UiTM dengan Prihatin, hari ini.

Tambahnya, bantuan diberikan seperti bantuan tunai secara one-off, barangan makanan, laptop atau komputer, cermin mata serta perkakasan lain. Malah yayasan itu turut membantu kolej kediaman UiTM menyediakan pelbagai kelengkapan.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin memberitahu, beliau menghargai kerjasama dengan Prihatin dan mengalu-alukan mana-mana pihak yang menghulurkan bantuan kepada UiTM.

Menurutnya, kira-kira 60 peratus mahasiswa adalah dalam kalangan B40 dan amat menghargai kemudahan-kemudahan bantuan disediakan bagi memudahkan perjalanan pengajian mereka di universiti.

“Sehingga kita sendiri pergi tengok, baru kita tahu kesannya kepada mereka, dalam kalangan mahasiswa UiTM pada hari ini, 60 peratus daripadanya adalah B40.

“Kita ada kemudahan hampir di semua kampus. Sebenarnya kita menjangkakan kampus yang berada pada kedudukan yang masyarakatnya agak ok (senang) contohnya di Seberang Prai dan Permatang Pauh, perkhidmatan itu tetap bermakna dan diperlukan mahasiswa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN