PM jamin Kuala Lumpur selamat

PM jamin Kuala Lumpur selamat

ANWAR Ibrahim (tengah) bersalaman dengan para jemaah selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Kuala Lumpur masih selamat meskipun berlaku beberapa kes mendapan tanah sekitar bandar raya itu sejak seminggu yang lalu.

Menurut Perdana Menteri, kajian teknikal di kawasan insiden tanah jerlus telah dilaksanakan ketika ini, malah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut memfokuskan kepada lokasi yang perlu diperkukuhkan.

“Tanah mendap itu sudah di ‘establish’ (dibuktikan) menerusi kajian teknikal dan tidak ada masalah setakat ini.

“Saya juga lalu kawasan terbabit, cuma, kawasan yang dianggap perlu diperkukuh itu, kita buat segera.

“Selain itu, pihak DBKL dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa juga telah memantau serta meneliti ‘progress’ (kes mendapan tanah) pada setiap hari.

“Setakat ini, belum ada kegusaran dan orang ramai tidak perlu bimbang untuk mengunjungi Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas berhubung dakwaan orang ramai yang berpendapat Kuala Lumpur adalah lokasi yang tidak selamat ketika ini.

Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat bersama penduduk setempat di Masjid Kubang Semang, di sini selepas menjamu selera serta menyantuni penduduk setempat di Kedai Tok, bersebelahan masjid berkenaan.

Jumaat lepas, media melaporkan bahawa seorang pelancong wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

Dua hari lalu, satu lagi tanah mendap dikesan berlaku kira-kira 50 meter dari lokasi insiden tanah jerlus terbabit.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN