KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menetapkan tempoh masa bagi warga Palestin yang diterbangkan ke sini baru-baru ini, untuk berada di negara ini bagi mendapatkan rawatan perubatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana keadaan di Gaza ketika ini amat daif dan berbahaya, selain tiada tanda menunjukkan perang yang berlaku bakal berakhir dalam masa terdekat.
Sehubungan itu, beliau menyatakan, semua warga Palestin yang mendapatkan rawatan perubatan akan dibenarkan berada di Malaysia sehingga pulih.
“Kita ambil mereka (penduduk Palestin) atas dasar ihsan dan belas kasihan memandangkan apa yang mereka alami sangat teruk (penindasan serta kekejaman rejim Zionis).
“Kita tidak meletakkan sebarang tempoh masa untuk mereka berada di sini. Banyak perkara yang perlu dilihat semula selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 16 Ogos lalu, dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa 41 pesakit dan 86 waris mereka selamat tiba di Pangkalan Udara Subang, Selangor.
Semua pesakit dibawa ke hospital medan yang didirikan di hangar pangkalan udara berkenaan bagi saringan kesihatan.
Ketika ini, keadaan 41 rakyat Palestin yang sedang dirawat di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur berada pada tahap yang baik.
Tambah Mohamed Khaled, kerajaan juga tidak berhasrat untuk membawa lebih ramai rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia memandangkan ia melibatkan pelbagai proses selain bukan tugas yang mudah.
“Cukup (tiada rakyat Palestin akan di bawa masuk ke negara lagi). Mereka (yang ada di Malaysia) ini mungkin akan ditempatkan dalam komuniti Palestin di negara ini dan kita akan bekerjasama dengan kedutaan Palestin dalam hal ini.
“Tetapi sekiranya mereka mahu balik, barulah kita fikir untuk bawa balik,” katanya. – UTUSAN










