LANGKAWI: Kawasan perairan Kuala Perlis yang kembali cetek mengakibatkan waktu pelayaran feri ke Langkawi terpaksa diubah mengikut keadaan paras laut demi keselamatan penumpang dan feri.
Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, jadual pelayaran feri akan diawal atau dilewatkan bermula Rabu ini hingga 31 Ogos ini
“Kawasan perairan dekat Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis kembali cetek dan kedalaman air laut untuk feri berlayar dinaikkan daripada 1.2 meter kepada 1.4 meter demi keselamatan penumpang dan feri,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pindaan pada jadual pelayaran itu juga bagi mengelak feri mengalami kerosakan akibat tersangkut pada lumpur di kawasan alur pelayaran cetek.
Menurutnya, sebanyak 52 perjalanan bagi laluan Langkawi-Kuala Perlis-Langkawi dipinda dengan pemakluman akan dihebahkan menerusi e-mel dan khidmat pesanan ringkas kepada penumpang yang membuat pembelian secara dalam talian.
“Bagi mereka yang membuat pembelian di kaunter, pemakluman dibuat menerusi akaun Facebook Cuti Cuti Langkawi,” ujarnya.
Tambahnya, penukaran tarikh bagi penumpang yang membuat belian secara dalam talian boleh berhubung dengan Pusat Khidmat Pelanggan Cuti Cuti Langkawi di talian 012-732 7174, manakala penumpang yang membuat pembelian di kaunter boleh terus ke kaunter.
Difahamkan, aktiviti pengerukan di kawasan yang mempunyai mendapan lumpur akan dilakukan pada bulan ini.
Pada Oktober 2021, akhbar ini melaporkan pengendali perkhidmatan feri penumpang terus dibelenggu dengan masalah air cetek di perairan Kuala Perlis sejak lebih 10 tahun lalu.
Keadaan itu menyebabkan feri terkandas sehingga lapan jam akibat tersangkut pada beting pasir berikutan alur pelayaran yang cetek. Kerja-kerja pengerukan seterusnya dilakukan bagi mengatasi masalah itu, namun ia kembali cetek berikutan mendapan lumpur. -UTUSAN










