Pendakwa mohon tahap mental Daim diperiksa sebelum perbicaraan

Pendakwa mohon tahap mental Daim diperiksa sebelum perbicaraan

NA'IMAH Abdul Khalid hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi sebutan suaminya Daim Zainuddin atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan mengemukakan permohonan di Mahkamah Sesyen di sini agar bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menjalani pemeriksaan mental di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menentukan sama ada beliau layak dibicarakan terhadap pertuduhan gagal mengisytiharkan 70 harta yang dimilikinya.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah, pendakwaan mempunyai alasan kukuh agar tahap mentalnya dinilai terlebih dahulu sebelum perbicaraan bermula selain memastikan sama ada beliau telah memberikan arahan yang sempurna kepada pasukan peguam yang mewakilinya.

Wan Shaharuddin berkata, permohonan tersebut dikemukakan berdasarkan laporan perubatan yang dikeluarkan oleh Hospital Assunta, Petaling Jaya berhubung tahap kesihatan bekas Menteri Kewangan itu.

Menurut beliau, laporan bertarikh 24 Ogos lalu menyatakan, selepas menjalani MRI, Daim didiagnos mengalami serangan strok berganda selepas mengalami pendarahan otak sejak Januari lalu.

Laporan itu turut menyebut, pergerakan Daim tidak stabil dan kerap terjatuh sehingga menyebabkan bahagian rusuknya retak tahun lalu.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon perintah mahkamah di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) agar bekas Menteri Kewangan itu dirujuk ke hospital kerajaan yang diwartakan.

“Kami tidak mahu dilihat terlalu kejam, namun Seksyen 342 menyatakan mahkamah mempunyai sebab yang material untuk menghantar Daim menjalani pemeriksaan mental terlebih dahulu sebelum perbicaraan bermula. Pemeriksaan itu penting kepada semua pihak,” ujarnya.

Pada 29 Januari lalu, Daim didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).

Sementara itu, TPR Law Chin How turut berhujah, permohonan tersebut berasas kerana pendakwaan ragu-ragu sama ada Daim layak dibicarakan terhadap pertuduhan yang dihadapinya.

“Sejak kali pertama didakwa di mahkamah pada 29 Januari 2024, Daim tidak pernah hadir pada mana-mana tarikh sebutan kes dan situasi ini menimbulkan persoalan sama beliau benar-benar layak dibicarakan.

“Pihak pendakwaan berasa sangsi sama ada Daim telah memberikan arahan sempurna kepada peguamnya kerana dia tidak pernah hadir ke mahkamah selepas itu. Ketidakhadiran beliau secara berterusan dikhuatiri menyebabkan perbicaraan ini terbatal,” ujar Chin How.

Dalam perkembangan sama, TPR Mohamad Fadhly Mohd. Zamry turut berhujah, permohonan itu akan membantu semua pihak termasuk mahkamah untuk mengenal pasti tahap kesihatan mental tertuduh.

Pada prosiding itu, peguam Nizamuddin Hamid membantah permohonan tersebut atas alasan laporan perubatan hospital berkenaan tiada kaitan dengan tahap mental Daim, sebaliknya ia menyentuh keadaan fizikal anak guamnya.

Hujah peguam, tertuduh memahami pertuduhan dan proses perbicaraan serta bersedia mengemukakan pembelaan manakala pemahaman anak guamnya telah dinilai oleh mahkamah pada hari pertama dia didakwa.

“Apabila pendakwaan membuat keputusan mendakwa seseorang berusia 86 tahun, ia hadir bersama hakikat semula jadi iaitu masalah kesihatan tertuduh,” ujar beliau. Pada prosiding itu, isterinya Toh Puan Na’imah Abdul Khalid hadir bagi pihak Daim.

Hakim Azura Alwi menetapkan 17 Oktober ini untuk keputusan permohonan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×