PASIR MAS: Malaysia akan mempercepatkan proses tender pembinaan jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok di sini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Thailand Srettha Thavisi, kedua-dua kerajaan bersetuju memendekkan kerja-kerja pembinaan.
“Kita jangka projek ini siap awal 2027, mungkin boleh percepatkan supaya ia siap akhir 2026. Hal ini kerana ia melibatkan 10 syarikat dari Malaysia dan 10 dari Thailand yang memasuki tander.
“Jadi proses itu boleh dipercepatkan. Perkara ini mesti ada kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas makan tengah hari bersama Srettha Thavisin di Kompleks Apam Putra, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, meskipun projek itu dipercepatkan namun aspek kualiti akan diberi perhatian sewajarnya.
Katanya, apabila projek itu siap kerajaan akan nenaik taraf jambatan sedia ada yang dibina sejak tahun 1971.
“Kedua-duanya akan digunakan nanti. Terlalu banyak tumpuan diberikan kepada Kelantan ketika ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama Anwar berkata, kedua-dua kerajaan turut bersetuju untuk mempercepatkan kerja-kerja mendalamkan muara Sungai Golok.
Katanya, langkah itu adalah salah satu usaha menyelesaikan masalah banjir yang berlaku setiap tahun antara Kelantan dengan wilayah Narathiwat.
“Saya beritahu Srettha jika muara Sungai Golok tidak digali limpahan air akan terus masuk ke Kelantan dan Narathiwat.
“Hal ini kerana tanah muara itu berada di Malaysia dan Thailand. Jadi kita telah sepakat berkait perkara ini,” katanya.- UTUSAN










