PETALING JAYA: Pembantu peribadi kepada seorang pelakon wanita popular yang direman empat hari didakwa mencuri barangan kemas pelakon itu telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazruel Ekram Abu Saare berkata, suspek dibebaskan selepas tempoh reman tamat hari ini.
“Suspek dibebaskan dengan jamin polis sementara siasatan dilengkapkan. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi di dalam bangunan,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Terdahulu, media melaporkan pembantu peribadi kepada seorang pelakon wanita popular ditahan polis pada Rabu lalu selepas didakwa mencuri barangan kemas pelakon terbabit.
Difahamkan, suspek yang juga seorang wanita berusia 28 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Selangor .
Dia kemudian direman empat hari bermula Khamis lalu hingga hari ini bagi membantu siasatan.
Jumaat lalu, Nazruel Ekram sebelum ini dilaporkan berkata, pelakon wanita itu menyedari rantai emasnya hilang ketika berada di kediamannya di Taman Cempaka, Ampang pada 26 Julai lalu.
Katanya, pengadu ada bertanya kepada suspek tentang perkara itu namun suspek menafikan mengambil rantai emas mangsa.
“Apabila pengadu membuat pemeriksaan lanjut, didapati dua gelang emas dan satu rantai emas milik anaknya turut tiada dalam beg tangan.
“Dia mengesyaki suspek mencuri barang itu malah pada Mac lalu, pengadu juga pernah kehilangan wang tunai sebanyak RM10,000,” katanya.
Akibat kejadian itu, katanya mangsa mengalami kerugian dianggarkan RM30,000.
Nazruel Ekram turut dilaporkan berkata semakan mendapati suspek memiliki dua rekod lampau berkaitan kes jenayah komersial.- UTUSAN










