Pelajar IPT berisiko ditipu sindiket keldai akaun - Utusan Malaysia

Pelajar IPT berisiko ditipu sindiket keldai akaun

MUSTAPHA Sakmud (dua dari kiri) diberi penerangan mengenai kempen pemuliharaan penyu selepas merasmikan Program 'Global Young Leaders Summit 2024' di UMT, Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengeluarkan surat peringatan kepada semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk memantau dan mengelakkan pelajar daripada terjerumus dalam sindiket keldai akaun di negara ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pengurusan IPT terutama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) juga perlu memperkasakan program kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai bahaya sindiket tersebut.

Menurutnya, kementerian sangat mengambil berat isu keldai akaun memandangkan pelajar IPT juga berisiko terdedah dengan penipuan yang dijalankan sindiket keldai akaun.

“Dahulu, (pelajar-pelajar IPT) ada (dikaitkan) dengan keldai dadah, namun yang terbaharu, dengan kecerdasan buatan (AI), timbul pula kes baru.

“Kita tak mahu mahasiswa kita terlibat dan kita minta mahasiswa agar berhati-hati apabila menerima sebarang mesej atau WhatsApp, semak dulu latar belakang untuk pastikan kesahihannya.

“Kadang-kadang memang tawaran itu menarik namun kita kena tahu apa yang ada di sebaliknya, ini penting supaya mahasiswa kita sedar banyak pihak di luar sana mahu ambil kesempatan dalam isu ini bagi mengaut keuntungan dan mempergunakan mahasiswa kita dengan sindiket keldai akaun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program ‘Global Young Leaders Summit 2024’ di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengurusan IPT perlu melihat kesalahan yang dilakukan pelajar terlibat keldai akaun sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

“Lihat dahulu siasatan yang dilakukan pihak polis dan kemudian lihat keperluan tindakan tatatertib di pihak IPT melalui AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971).

“Kemungkinan penglibatan disebabkan masalah kewangan itu juga mungkin ada kerana iklan-iklan sebegini memang amat menarik dan kita pun maklum ramai pelajar kita golongan B40.

“Tapi selidiklah dahulu..kita lihat case by case, kalau pelajar ini terjebak sebab tak sedar (risiko dan akibat perbuatan itu) kita kena bantu mereka,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan, pihaknya tidak menolak kemungkinan pelajar IPT yang terlibat menjadi pemilik keldai akaun, turut menjadi mangsa penipuan.

Semakan pihak polis sebelum ini telah mengenal pasti sebanyak 208,000 keldai akaun di negara ini dan ada sebahagiannya ialah akaun pelajar IPT. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN