SUNGAI PETANI: Seorang pekerja kedai cuci kereta maut manakala seorang pengawal keselamatan parah dengan kesan tetakan akibat diserang lima suspek dalam kejadian di Bedong.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia lewat 20-an dipercayai diserang menggunakan parang oleh kesemua suspek di dua lokasi berasingan yang berjarak antara 2.7 kilometer.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian bermula di sebuah tapak kosong di simpang ke Kampung Toh Pawang di sini.
“Ketika kejadian, mangsa yang sedang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditemani seorang rakan telah diserang oleh lima suspek lelaki menaiki motosikal dan bersenjatakan parang.
“Mangsa cedera parah di dada, tangan kiri dan kanan, namun rakannya berjaya melarikan diri dari tempat kejadian.
“Kesemua suspek kemudian pergi ke belakang sebuah premis cuci kereta di Taman Bedong dan menyerang mangsa kedua yang berada di situ menyebabkan dia mengalami cedera parah di pelbagai anggota badan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Wan Azharuddin berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke hospital oleh rakan mereka, namun salah seorang mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan.
“Kedua-dua mangsa merupakan penduduk tempatan dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian. Setakat ini kita berjaya menahan tiga suspek berumur antara 20-an dan 30-an di sekitar Sungai Petani.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah yang disiasat secara berasingan,” katanya.
Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda ditalian 04-4299222 atau pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Azmirul Abdul Aziz di talian 019-444 6521. – UTUSAN










