LUMUT: Seorang pembantu kedai runcit didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini, selepas mengaku salah melakukan khianat menyimbah cat di sebuah premis kediaman di Kampung Baru Ayer Tawar, dekat sini, Januari lalu.
Fo Siew How, 29, yang belum berkahwin, membayar denda tersebut.
Tertuduh yang melakukan perbuatan itu atas suruhan ‘ah long’ membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai, selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan, Siew How didakwa dengan niat telah melakukan khianat dengan menyimbah cat sehingga menyebabkan kerosakan pada pagar, dinding pagar dan halaman rumah serta pasu bunga milik Kong Tee Seew sehingga mendatangkan kerugian RM2,000 kepada mangsa.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Baru, Ayer Tawar, dekat sini, kira-kira pukul 2.50 pagi 24 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Hairol Jemain manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Shaqira Ibrahim.
Mengikut fakta kes, mangsa menelefon menantunya kira-kira pukul 4.30 pagi hari kejadian memaklumkan rumahnya disimbah cat merah serta dua keping nota nama anak mangsa serta ayat ‘hutang wang bayar wang, ini amaran awal’ dalam bahasa Mandarin.
Hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan sebuah kereta Proton Saga berwarna putih berhenti di hadapan rumah itu sebelum keluar seorang lelaki menyimbah cat merah di premis tersebut.
Kira-kira pukul 1.40 tengah hari 3 Ogos lalu, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, berjaya menahan tertuduh di ibu negara dan merampas sebuah kereta Proton Saga.
Semakan polis dengan pihak Touch N Go dan rakaman CCTV mendapati tertuduh telah datang ke daerah Manjung dengan menaiki kereta tersebut melalui Plaza Tol Lekir pada hari kejadian. – UTUSAN










