GEORGE TOWN: Malaysia bebas jangkitan Mpox atau cacar monyet tetapi giat berhubung rapat dengan negara-negara ASEAN bagi mendapatkan informasi terkini jangkitan penyakit di negara-negara berkenaan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pada masa yang sama, semua agensi terlibat diarah memantau dengan rapi pintu-pintu masuk negara bagi memastikan keselamatan kesihatan semua pihak terjamin.
“Kita sedang berhubung dengan semua negara ASEAN dan kita memang mengawal sepenuhnya pintu masuk serta memantau jangkitan yang sedang berlaku di negara jiran.
HALANGAN
“Setakat ini, kita tidak mempunyai sebarang halangan (untuk keluar masuk ke negara-negara ini). Kenyataan rasmi telah dikeluarkan oleh KKM (Kementerian Kesihatan dan kita telah menyediakan panduan dan kaedah rawatan untuk merawat Mpox,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, Lukanisman merasmikan Persidangan Saintifik Kesihatan Sempadan Malaysia-Thailand kali ke-34 di Batu Ferringhi, dekat sini.
Mpox ialah sejenis jangkitan yang disebabkan oleh virus Mpox, iaitu spesies di bawah genus orthopoxvirus. Jangkitan boleh berlaku antara manusia kepada manusia melalui sentuhan rapat secara langsung dengan ruam atau lepuh pada kulit individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan.
Malah, jangkitan juga boleh berlaku melalui pendedahan kepada cecair respiratori semasa hubungan intim, dengan gejalanya termasuk demam berserta ruam ‘maculopapular’ atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan kornea.
KEMAS KINI
Lukanisman berkata, kerajaan juga sedang memantau rapi situasi jangkitan di Eropah dan akan mengemas kini maklumat mengenainya kepada orang ramai dari semasa ke semasa.
“Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), Menteri Kesihatan dan KKM sedang memantau rapi keadaan dan akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa. Kita tidak mahu mencetuskan situasi panik dalam kalangan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua langkah berjaga-jaga telah diambil oleh agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), terutama sekali di pintu masuk negara dan juga di sempadan.
“Setakat ini, proses yang kita lakukan adalah sama seperti semasa pandemik. Jika terdapat sesuatu yang kita kesan terutama di pintu masuk sempadan, kita telah menyediakan garis panduan mengenainya,” katanya.
Ditanya sama ada rakyat perlu mendapatkan vaksin Mpox, Lukanisman berkata, pihak kementerian akan mengkaji sepenuhnya keperluan tersebut. – UTUSAN










