MITI, Tesla adakan pertemuan khas 22 Ogos ini - Utusan Malaysia

MITI, Tesla adakan pertemuan khas 22 Ogos ini

MITI Tesla
TENGKU Zafrul Aziz menyempurnakan majlis pecah tanah dewan serbaguna terbuka Kampung Tebuk Mufrad, Sungai Air Tawar, di Sabak Bernam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Sesi pertemuan khas bakal diadakan antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Tesla Inc. (Tesla) pada 22 Ogos depan bagi mendapatkan penjelasan berkenaan pembatalan pembinaan kilang oleh syarikat itu di Asia Tenggara.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, ia penting bagi membolehkan kerajaan mendapat pengesahan daripada Tesla yang belum membuat kenyataan rasmi setakat ini.

“Maklumat atau dakwaan mengenai perkara itu (pembatalan kilang) kini hanya didengari daripada pihak ketiga.

“Justeru, kita akan menemui pihak pengurusan atasan Tesla dari Amerika Syarikat yang dijadualkan berlangsung di ibu pejabat MITI pada 22 Ogos ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Mini MITIday dan majlis pecah tanah dewan serbaguna terbuka Kampung Angkat Madani di Kampung Tebuk Mufrad, Sungai Air Tawar, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Tesla tidak akan membina kemudahan pembuatan kenderaan elektrik (EV) sama ada di Malaysia, Thailand atau Indonesia.

Memetik laporan akhbar Thailand, The Nation, pengeluar EV itu sebaliknya hanya akan menumpukan kepada pengukuhan ekosistem stesen pengecasan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kegagalan Tesla dalam bersaing dengan kenderaan EV keluaran syarikat dari China menyebabkan pembatalan rancangan mengembangkan operasi pengeluarannya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul memberitahu, bagaimanapun pembatalan itu tidak akan menjejaskan Malaysia sebagai salah satu hab EV di rantau ini.

“Selain itu, Tesla sebelum ini juga tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang mereka di Malaysia,” ujarnya.

Katanya lagi, sebarang kenyataan rasmi mengenai hasil pertemuan itu akan dikeluarkan kementeriannya selepas mendapat persetujuan Tesla kerana ia melibatkan isu dalaman syarikat tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN