CIK Bunga teringat dengan kata-kata emas yang pernah dilontarkan oleh Nur Sajat. Dalam kelucuan, dia menyebut ‘di manakah letaknya akal dan fikiran yang telah diberikan oleh Allah SWT’ ketika dia menyindir segelintir warganet sebelum ini.
Ayat itu terpaku di minda Cik Bunga terutama apabila menerima rungutan daripada seorang pereka fesyen muda yang bengang dan tersinggung dengan sikap seorang penyanyi wanita berusia hampir lima dekad.
Dikhabarkan, penyanyi wanita itu gigih menemuinya dan meminta untuk menyediakan enam pasang busana sempena menjayakan sebuah persembahan yang bakal diadakan.
Beli busana itu? Tentunya tidak. Penyanyi itu minta tajaanlah dik, bukan beli pun. Sebagai pereka fesyen yang mula mahu bertapak dalam industri, menerima permintaan daripada seorang penyanyi yang kononnya diva macam wanita itu, tentulah dianggap sebagai sesuatu yang tidak dapat ditolak.
Bukan main senang hati pereka fesyen tersebut bila datang peluang begini apatah lagi dalam ketidaksangkaan bahawa ada juga artis yang sudi memandang hasil kerja tangan pereka fesyen baharu sepertinya.
Apabila kesemua busana itu sudah siap dan dihantar, pereka fesyen ini sajalah bertanya sama ada penyanyi itu sudi sediakan tiket untuk dia menonton persembahannya sebagai timbal balas.
Pertanyaan itu, mengundang rasa hampa apabila artis itu sebaliknya meminta dia membeli tiket jika mahu menonton persembahannya.
Amboi, yang awak minta orang ini siapkan sampai enam pasang busana tanpa bayaran satu sen itu bagaimana pula? Adakah si pereka fesyen ini buat baju-baju itu dengan modal air liur ? Atau pakai magik?
Sudahnya, si pereka fesyen ini kata, tidak mengapalah. Dia boleh saja beli tiket atas dasar menyokong artis tersebut.
Cuma dia tak sangkalah, begitu sikap si artis itu. Paling Cik Bunga tidak boleh terima, hujung-hujung, enam pasang busana yang disiapkan oleh pereka fesyen itu tidak sehelai pun disarungkan oleh penyanyi itu pada acara persembahannya. Penyanyi tersebut pulangkan balik kononnya baju-baju itu tidak kena dengan konsep.
Bunyi macam tiada apa-apa kesan bukan? Tetapi, kata pereka fesyen itu, meskipun itu baru pertama kali berlaku dalam hidupnya, selepas ini amat sukar buatnya untuk memberi kerjasama dengan mana-mana artis lain.
Dalam erti kata lain, dia bimbang jika artis lain pun perangai sama atau malah lebih buruk lagi. Tak baik tahu…kasihan pereka fesyen tersebut.











