Media diingat jangan lapor berita spekulasi - KPN

Media diingat jangan lapor berita spekulasi – KPN

TAN SRI RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran kepada semua pihak terutamanya pengamal media supaya tidak membuat laporan atau berita spekulasi sehingga menimbulkan fitnah dan khianat kepada pihak lain.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menyedari penggunaan media sosial secara meluas sehingga terdapat pihak-pihak tidak bertanggungjawab membuat berita yang tidak pasti kesahihannya.

“Perkembangan teknologi sehingga wujudnya pelbagai media termasuk portal sehingga mungkin berlaku persaingan ‘siapa’ keluar berita dahulu atau sebagainya.

“Bagaimanapun, kita menasihatkan orang ramai terutamanya pihak media bagi memastikan berita yang dilaporkan daripada pihak yang berkaitan sesuatu isu dan bukannya memetik ‘sumber’ yang tidak tahu sahih atau tidak.

“Hal ini banyak berlaku kebelakangan ini, mengambil contoh kes pembunuhan Nur Farah Kartini dan terbaharu isu yang menyentuh pengurusan serta dalaman PDRM,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut beliau, kerjasama media dan agensi keramat ini (PDRM) yang terjalin sekian lama amat diperlukan bagi melaporkan kes-kes atau kejayaan pihak polis.
Justeru, beliau menasihatkan pengamal media menyebarkan atau melaporkan berita yang dikeluarkan daripada kenyataan rasmi dan pihak berkaitan.

“Kita memahami tanggungjawab pengamal media sebagai perantara dalam menyampaikan berita kepada masyarakat namun perlu dilakukan dengan beretika,” katanya.

Kata beliau, sekiranya berita dilaporkan menimbulkan khianat atau fitnah, pihaknya tidak teragak-agak akan mengambil tindakan tegas.

Jelas beliau, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM), Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan peruntukan sedia ada.
Di bawah Seksyen 233 AKMM, mereka yang berkenaan boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit bersalah.

Media semalam melaporkan Razarudin menegaskan berita diterbitkan mengenai wujud rancangan pertukaran beberapa kepimpinan tertinggi PDRM oleh sebuah portal berita tempatan tidak benar.

Beliau menegaskan bahawa PDRM tiada mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang perkara yang dimaksudkan.

Terdahulu, portal itu yang memetik sumber itu melaporkan, antara pegawai tertinggi yang terbabit dalam rancangan perpindahan keluar adalah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Portal itu melaporkan Ayob Khan mungkin akan mengetuai sama ada Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) atau Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Selain itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dikatakan mungkin akan ke Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai Ketua Pengarah.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN