Maut ditikam gunting ketika lerai pergaduhan

Maut ditikam gunting ketika lerai pergaduhan

BEBERAPA anggota polis menjalankan siasatan berhubung kes bunuh seorang warga emas di sebuah rumah di Pekan Darat, Butterworth, Pulau Pinang. – UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Cubaan seorang wanita warga emas me­leraikan pergaduhan antara dua beranak berakhir tragedi selepas dia maut akibat ditikam dengan gunting di sebuah rumah di Pekan Darat, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 80-an dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan sebelum dilaporkan meninggal dunia.

Terdahulu, menurut sumber, berlaku pertengkaran antara anak saudara lelaki mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an bersama ibunya di kediaman terbabit.
“Mangsa yang berada di situ semasa pertengkaran berlaku dikatakan cuba meleraikan pergaduhan terbabit.

“Bagaimanapun, suspek yang tidak berpuas hati kerana mang­sa cuba mencampuri urusannya mengambil sebilah gunting lalu menikam bahagian kiri kepala warga emas itu.

“Mangsa yang cedera parah dibawa ke hospital untuk rawatan, namun, disahkan meninggal dunia manakala ibu suspek berusia 70-an yang turut me­ngalami kecederaan dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan,” katanya semalam.

Sumber berkata, suspek turut memecahkan cermin rumah terbabit sebelum melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.

Difahamkan, orang ramai yang melihat kejadian itu meng­hubungi polis dan suspek ditahan tidak lama kemudian.

Suspek dipercayai memiliki masalah mental, namun, dia difahamkan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

Dalam pada itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN