Mampu jadi pengeksport beras wangi jika SSL lebih 90 peratus

Mampu jadi pengeksport beras wangi jika SSL lebih 90 peratus

AZMAN MAHMOOD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dijangka mampu menjadi antara negara pengeksport beras wangi terbesar di dunia sekiranya tahap sara diri (SSL) komoditi itu mencecah lebih 90 peratus.

Malah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersedia menarik balik larangan pengeksportan beras tempatan jika kemasukan beras asing kurang 10 peratus.

Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, KPKM, Datuk Azman Mahmood berkata, beras wangi Malaysia dianggap antara terbaik di dunia yang mutunya setaraf dari Thailand dan Vietnam.

“Ramai mungkin tidak tahu bahawa sebelum ini beras wangi keluaran tempatan menerima permintaan cukup besar dari kalangan pembeli kaya di Dubai dan Singapura,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kerajaan mengenakan perintah larangan penjualan beras ke luar negara akhir tahun lalu ekoran krisis kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT) dalam pasaran domestik.

Pada 2021, Malaysia mengeksport sejumlah 161,000 tan komoditi itu ke beberapa negara jiran yang bersamaan hampir 10 peratus daripada jumlah pengimportan produk tersebut.

Setiap bulan, rakyat negara ini memerlukan 209,788 tan beras manakala SSL pada 2022 hanya 62.6 peratus dengan purata hasil pengeluaran 3.577 tan metrik sehektar setahun.

“Sebenarnya SSL boleh mencapai 74 peratus jika purata hasil tuaian 4.2 tan setiap hektar malah boleh melepasi 109 peratus sekiranya mampu lebih 6.2 tan sehektar,” kata Azman.

Unjuran itu ujarnya, bakal menyaksikan Malaysia mampu menurunkan pengimportan lebih 232,000 tan setahun dengan andaian keperluan malar iaitu 2.5 juta tan sepanjang tahun.

Pada ketika ini, Malaysia mengeluarkan 1.57 juta tan metrik setahun beras daripada keluasan 637,935 hektar sawah padi di seluruh negara menerusi dua kali musim penanaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN