PETALING JAYA: Malaysia dan Turkiye bersetuju untuk meneroka peluang baharu kerjasama dalam tahap kebolehoperasian dan ketersediaan kedua-dua angkatan tentera dalam semua domain iaitu darat, laut, udara, siber, kecerdasan buatan (AI) dan perkongsian risikan.
Kementerian Pertahanan berkata, perkara itu antara yang dipersetujui dalam perbincangan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Menteri Pertahanan Turkiye, Yasar Guler, hari ini.
Menurut kementerian, kedua-dua pemimpin berbincang serta memfokuskan kepada kerjasama pertahanan yang produktif dan mengesahkan komitmen dan kerjasama ketenteraan melibatkan kedua-dua negara.
Katanya, ia merangkumi bidang sains, teknologi dan industri pertahanan.
“Selain itu, kunjungan hormat ini juga telah mencapai persetujuan kedua-dua pemimpin merangkum mengukuh dan memperluaskan kerjasama pertahanan dua hala melalui Memorandum Persefahaman (MoU) baharu dalam Kerjasama Pertahanan, yang akan bertindak sebagai penaung bagi memudahkan kedua-dua kementerian angkatan tentera dalam pelbagai konteks kerjasama.
“Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk mempercepatkan ketetapan MoU baharu menjelang akhir 2024,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Mohamed Khaled menerima lawatan kerja Guler, hari ini dan ia merupakan lawatan balas setelah lawatan rasmi pertama Menteri Pertahanan Malaysia ke Ankara pada 11 Jun lepas.
Dalam pada itu, kata kementerian, Malaysia dan Turkiye turut bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu, terutamanya mengenai hubungan pertahanan dua hala.
“Selain itu, mereka membincangkan konflik yang berterusan, terutamanya di Asia Barat termasuk isu geopolitik sejagat.
“Lawatan rasmi Menteri Pertahanan Türkiye ini mencerminkan ikatan pertahanan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara dengan menunjukkan perkongsian boleh dipercayai yang ditakrifkan oleh Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Negara dalam Kertas Putih Pertahanan Malaysia (DWP),” katanya. – UTUSAN










