PETALING JAYA: Malaysia sangat terkejut dan marah dengan insiden pembunuhan Pengerusi Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang menunjukkan masyarakat antarabangsa gagal memperjuang dan memastikan keamanan serta keadilan ditegakkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ketika menyampaikan ucapan takziah Malaysia kepada Ahli Biro Politik Hamas, Dr. Bassem Naim berkata, pembunuhan Ismail jelas berunsurkan sabotaj bagi menggagalkan rundingan gencatan senjata yang sedang diusahakan.
Anwar berkata, berdasarkan perbualan dengan pertemuannya dengan Ismail sebelum ini, jelas menunjukkan bahawa sosok itu merupakan tonggak utama memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
“Beberapa hari yang lalu, maklumat terkini dari saudara-saudara kita di Turki, dan jelas bahawa Almarhum Ismail adalah tonggak perjuangan ini, dan salah satu hal yang diperjuangkan adalah perjanjian damai bagi mengembalikan hak rakyat Palestin.
“Jelas ada unsur sabotaj. Mereka tidak mahu perjanjian damai ini berjaya,” katanya menerusi panggilan telefon berdurasi lima minit yang dikongsikannya di laman sosial Facebook semalam.
Anwar berkata, beliau dimaklumkan berita pembunuhan Ismail ketika mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Putrajaya semalam dan menyatakan bahawa seluruh ahli Kabinet terkejut dengan insiden tersebut.
“Seluruh ahli Kabinet terkejut dengan kegilaan rejim Zionis Israel yang bertindak menyerang di kediaman, menyiksa mereka, dan menganggap perang dan keganasan ini boleh berakhir dengan cara sedemikian,” katanya.
Anwar berkata, pembunuhan besar-besaran di wilayah itu sudah meragut lebih 40,000 nyawa dan hanya boleh berlaku kerana dimungkinkan dengan tanggapan bahawa tidak ada sesiapa yang akan dipertanggungjawabkan serta menerima hukuman.
“Hanya mereka yang tiada sifat kemanusiaan sahaja yang tidak menyedari keperluan untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim biadab Zionis Israel bagi menghentikan pembantaian.
“Rakyat Palestin telah dihadapkan dengan malapetaka dan penderitaan selama berdekad lamanya, dan saya amat bimbang tentang nasib mereka susulan pembunuhan saudara Ismail,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Malaysia tetap teguh mendukung perjuangan untuk menubuhkan sebuah negara Palestin merdeka.
“Kami akan terus melakukan yang terbaik untuk mengutuk kekejaman ini,” katanya.
Sementara itu, Dr. Basem turut menyatakan kepercayaannya terhadap Malaysia khususnya Perdana Menteri yang sangat lantang dan komited menyokong perjuangan rakyat Palestin sehingga hari ini.
Pada masa sama, beliau juga mengakui pihaknya sendiri masih terkejut dengan pemergian Ismail dan menyifatkannya sebagai kehilangan besar bukan saja kepada rakyat Palestin bahkan untuk seluruh umat manusia yang merdeka.
“Saya kenal beliau sejak kecil, beliau seorang pejuang sejati yang telah mengorbankan seluruh hidupnya demi Allah, demi Islam. Perkara paling penting adalah untuk meneruskan perjuangan Ismail sehingga rakyat Palestin mencapai kebebasan dan tertegaknya maruah.
“Mengakhiri sikap barbarik ini, bukan hanya terhadap rakyat Palestin, tetapi mereka telah melampaui batas, sama ada di Syria, Iraq, Iran dan di mana-mana sahaja.
“Ini adalah mesej kepada semua umat Islam dan warga Arab, bahawa sesiapa sahaja yang memperjuangkan kebebasan adalah sasaran mereka. Justeru, kita mesti bersatu di ini,” katanya. – UTUSAN









