JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan membantu pelaksanaan kerja-kerja naik taraf Larkin Sentral di sini yang merupakan hab pengangkutan awam utama Johor sekali gus menjadikannya terminal kategori gred A.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ketika ini Larkin Sentral dikategori sebagai terminal gred B oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Katanya, perkara itu penting kerana premis berkenaan menghubungkan pelbagai destinasi dalam dan luar negara dengan purata seramai 18,000 pengguna sehari.
“Penggunaan tinggi menjadikannya pusat logistik penting bagi pergerakan penumpang sama ada perjalanan tempatan mahupun antarabangsa.
“Sehubungan itu, beberapa cadangan tambah baik telah dibuat termasuklah menaik taraf dan membaik pulih bumbung di platform bas; menambah baik sistem pengudaraan di ruang terminal bas; penyediaan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) serta menaik taraf kemudahan untuk bilik rehat pemandu bas,” katanya selepas membuat lawatan kerja ke terminal pengangkutan awam berkenaan, di sini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan aduan pengguna berhubung kualiti infrastruktur di Larkin Sentral yang boleh dikategori sebagai ketinggalan khusus buat negeri yang sedang berkembang pesat dari sudut ekonomi. – UTUSAN







