Lyodra pecah rekod di Spotify - Utusan Malaysia

Lyodra pecah rekod di Spotify

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Tak sangka saya mampu sampai ke tahap ini.”

Demikian respons penyanyi negara seberang, Lyodra Ginting, mengenai kejayaannya memecahkan rekod dengan meraih jutaan pendengar di platform penstriman, Spotify.

Kata penyanyi berusia 21 tahun itu, dia bersyukur kerana pencapaian tersebut membuktikan karya-karyanya diterima baik pendengar di platform berkenaan.

“Saya gembira apabila lagu-lagu yang saya nyanyikan diterima ramai orang.

“Harapan saya, karya-karya saya dinikmati lebih ramai pendengar supaya saya dapat mencipta lebih banyak kejayaan di masa akan datang,” katanya yang ditemui semasa sidang media konsert Ada Afgan dan Lyodra semalam.

Lyodra merekodkan kejayaan peribadi dengan meraih lebih 10 juta pendengar bagi lagu-lagunya di platform berkenaan.

Gadis asal Medan, Sumatera
Utara itu menjadi antara penyanyi termuda di Indonesia yang memegang rekod berkenaan.

Mengulas tentang konsert bersama Afgan pada September ini, Lyodra bersyukur kerana impiannya untuk mengadakan konsert di Malaysia akhirnya menjadi kenyataan.

“Lebih istimewa lagi apabila konsert ini menyatukan saya dengan idola saya.

“Dan kesempatan ini ibarat mimpi yang menjadi kenyataan kerana sudah lama saya impikan untuk mengadakan konsert di Malaysia.

“Tapi perasaan gemuruh tetap ada kerana saya, seorang penyanyi junior bakal berkongsi pentas dengan Afgan yang berpengalaman mengadakan konsert di banyak tempat,” ujarnya.

Konsert yang dianjurkan Kharisma Music dengan kerjasama Alha Alfa, Intan Gelombang dan Futurace itu bakal dipentaskan di Mega Star Arena 28 September ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN