Lonjakan besar kemasukan pelancong di Selangor tahun depan - Utusan Malaysia

Lonjakan besar kemasukan pelancong di Selangor tahun depan

Pelancong Selangor
AMIRUDIN Shari bersama kepemimpinan i-City Berhad dan Tengku Ahmad Shah Sultan Salahuddin (dua, kiri) melakukan gimik pecah tanah pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan SkyCity dan Gelongsor Kaca, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor jangkakan lonjakan kemasukan pelancong lebih 28 juta orang sempena tahun melawat negeri itu pada tahun hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau tidak menolak lonjakan tersebut namun menunggu maklumat daripada pembentangan perancangan Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025 daripada Tourism Selangor yang dijangka dibuat pada suku ketiga tahun ini.

“Kita belum jangkakan lagi, tetapi pada akhir tahun ini selepas perancangan yang akan dibentangkan oleh Tourism Selangor kita yakin dalam strategi yang tertentu jumlah (sasaran) akan dapat dicapai,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan SkyCity dan Gelongsor Kaca, hari ini.

Beliau memaklumkan, produk baharu daripada i-City itu dijangka menjadi tarikan tambahan kepada negeri ini khususnya kawasan tersebut yang merupakan pusat tumpuan negara khususnya Selangor.

“i-City memang salah satu produk untuk TMS 2025 dan sudah tentu dengan produk baharu ia akan menjadi tarikan yang lebih kepada pelancong, orang akan datang ke i-City.

“Kalau kita lihat i-City saling melengkapi, kemudahan pusat bandar dan juga kejiranan yang moden. Ada penempatan, kawasan rekreasi, kemudahan pusat beli belah dan berdekatan dengan pusat komersial untuk bekerja dan sebagainya,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi i-City Selangor, Datuk Seri Tengku Ahmad Shah Sultan Salahuddin berkata, bandar digital terletak di sempadan Shah Alam – Klang itu dijangka menarik sehingga lima juta pelancong pada tahun hadapan.

“Kami percaya SkyCity menambah lagi daya tarikan. Ia akan menyumbang secara signifikan kepada kejayaan TMS 2025.

“i-City sebagai Bandar Digital di Malaysia dijangka memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat TMS 2025, ia dijangka membantu negeri ini melonjakkan sasaran sehingga 7 juta pelancong seterusnya mengukukannya sebagai destinasi pelancongan utama,” ujarnya.

SkyCity mempunyai ketinggian kira-kira 60 meter dan Gelongsor Kaca sepanjang 600 meter dengan kos kira-kira RM15 juta itu dijangka siap dan dibuka kepada pengunjung pada akhir tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN