KLANG: Sambutan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan di Jalan Genting Kampung Rantau Panjang di sini ‘digemparkan’ dengan kemunculan lima makhluk asing yang popular dalam filem ‘Predator’.
Menurut Pengerusi Komuniti Kampung Rantau Panjang, Azhar Muhamad, kehadiran ‘Predator’ tersebut memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan tahun ini.
“Sebelum ini setiap tahun kita menganjurkan sambutan bulan kemerdekaan dengan memasang ratusan Jalur Gemilang pelbagai saiz di simpang dan sepanjang jalan.
“Tiap kali ia diadakan memang meriah melibatkan seluruh penduduk kampung, tetapi kali ini gimik kita adalah menampilkan adiwira seperti Spiderman dan watak antagonis seperti Predator,” katanya pada Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Perarakan Merdeka anjuran Gabungan Kariah Komuniti Jalan Genting dan Pejabat Penghulu Mukim Rantau Panjang serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batu 4.
Tambahnya, sambutan bulan kemerdekaan akan diteruskan pada masa depan kerana ia mampu menaikkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat terutama generasi muda.
“Kempen kibarkan Jalur Gemilang dengan menonjolkan watak adiwira dan lima susuk makhluk Predator ini adalah untuk memberi keceriaan kepada anak-anak muda sambil mereka mengibarkan bendera kita.
“Sambil mereka mengibarkan Jalur Gemilang dan bergambar dengan figura-figura tersebut kita sampaikan mesej cintakan negara, ” ujarnya. – UTUSAN










