KOTA KINABALU: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima kira-kira tiga juta e-Invois daripada syarikat-syarikat yang berpendapatan atau mempunyai jualan tahunan melebihi RM100 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, jumlah itu dijangka terus meningkat berikutan pelaksanaan mandatori telah dikuatkuasakan bermula 1 Ogos lalu.
Beliau berkata, pada hari pertama penguatkuasaan dilaksanakan, pihaknya menerima lebih 700,000 e-Invois daripada syarikat yang terlibat dalam kategori pertama.
Katanya, dari segi sasaran untuk kumpulan pertama, pihaknya telah mengenal pasti 5,000 pembayar cukai yang sepatutnya mula mengemukakan e-Invois bagi kumpulan pertama.
“Kita tahu (syarikat) yang berdaftar dengan kita dan kita jangka mereka ini akan menyertai e-Invois untuk kumpulan pertama.
“Kita telah mengenal pasti 5,000 pembayar cukai yang sepatutnya mula menghantar e-Invois untuk kumpulan pertama dan kita ada jumlah-jumlah tertentu untuk kumpulan kedua dan ketiga,” katanya dalam majlis minum petang CEO Hasil bersama media, semalam.
Inisiatif e-invois di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) diperkenalkan seiring Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan (NESR) 2.0 dan Program Mangkin Malaysia Digital (Pemangkin).
Menurut Abu Tariq, setakat ini semua syarikat untuk kumpulan pertama berjaya mengemukakan e-Invois tanpa sebarang masalah.
Beliau bekata, untuk kumpulan kedua membabitkan syarikat dengan perolehan tahunan sebanyak RM25 juta hingga RM100 juta, mereka boleh mengemukakan e-Invois bermula daripada sekarang tanpa perlu menunggu 1 Januari 2025.
“Sebenarnya adalah lebih baik untuk mereka sertai sistem sekarang, tidak perlu tunggu 1 Januari untuk mengemukakan e-Invois. Walaupun belum lagi dikuatkuasakan, mereka boleh sertai sistem kita bermula dari sekarang,” katanya. – UTUSAN









