KUALA LUMPUR: Seorang pembantu penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didenda RM13,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan menerima suapan bagi melindungi premis yang menggunakan lesen Ali Baba.
Tertuduh, Syahrul Riza Md. Yusof, 42, yang pembantu penguatkuasa DBKL di bahagian perkhidmatan penguatkuasa Seksyen Pasar DBKL membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut kelima-lima pertuduhan itu, tertuduh didakwa mendapatkan wang berjumlah RM1,200 di Pasar Harian Selayang, di sini antara 27 Disember hingga 20 Jun 2023.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman berat kepada tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat dan tanda mahkamah serius dalam membanteras rasuah daripada menjadi barah.
Syahrul Riza yang tidak diwakili peguam itu merayu kepada mahkamah agar dia berikan hukuman ringan atas alasan dia menanggung dua orang anak dan menjaga ibu bapa serta mempunyai komitmen pinjaman bank.
Selepas menjatuhi denda tersebut, Azura turut memerintahkan tertuduh dipenjara 21 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut.
Sementara itu, di Mahkamah Seksyen yang berlainan, dua lagi pembantu penguatkuasa DBKL didakwa membabitkan pertuduhan serupa.
Muhammad Syawal Riezqan Jauhar, 28, mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan iaitu menerima wang berjumlah RM4,800 daripada seorang individu di Pasar Harian Selayang, antara 26 Oktober hingga 15 Ogos 2023.
Sementara itu, Amran Mat Dali, 45, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menerima RM100 daripada individu sama di lokasi sama antara 10.30 malam, 19 April 2023.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Atiqah Ab Razak mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah serta dilarang menghampiri saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai.
Peguam bela, Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim yang mewakili Amran bagaimanapun memohon jumlah jaminan itu dikurangkan kerana anak guamnya berpendapatan RM3,500 selain menyara isteri dan tiga anak masih bersekolah serta bapanya yang berusia 70 tahun.
Muhammad Syawal Riezqan yang tidak diwakili peguam turut memohon jumlah ikat jamin tersebut dikurangkan.
Hakim Suzana Hussin menetapkan wang jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi Amran manakala Muhammad Syawal Riezqan ditetapkan ikat jamin RM6,000; masing-masing dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut membenarkan syarat tambahan sebagaimana dimohon oleh pendakwaan. Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 18 dan 19 Sept ini terhadap Amaran dan Muhammad Syawal Riezqan.
Sebelum ini, media melaporkan, Julai lalu, SPRM Kuala Lumpur menahan lapan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana dipercayai menerima rasuah daripada premis perniagaan beroperasi tanpa lesen sah serta menggunakan lesen Ali Baba. – UTUSAN










