Lelaki warga asing tunjuk isyarat lucah kepada Aliff Syukri ditahan
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki warga asing semalam selepas dipercayai melakukan perbuatan lucah kepada usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri, di Kota Damansara dekat sini baru-baru ini.
Ketika kejadian Aliff dikatakan berada di dalam kereta sebelum didatangi lelaki warga asing berusia 30-an yang didakwa menunjukkan sesuatu di tangannya.
Malah selepas enggan dilayan Aliff, lelaki itu beredar sebelum melakukan perbuatan lucah.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar yang mengesahkan kejadian itu memaklumkan, suspek ditahan semalam bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
Terdahulu, Aliff di laman Instagram (IG) meminta orang ramai berhati-hati selain bimbang dengan keselamatan dirinya.
“Berhati-hati.. Sumpah saya takut siapa yang pernah kena macam saya ni?? saya takut lah kenapa banyak sangat orang asing macam ni..
“Dia siap bawa `pisau salip’ kat tangan kiri dia.. bahaya sekarang lokasi di Thestand, Kota Damansara,” katanya.- UTUSAN










