BUTTERWORTH : Lelaki yang tergamak menikam seorang warga emas dengan menggunakan gunting dalam satu kejadian pagi semalam kini direman selama tujuh hari iaitu sehingga 21 Ogos depan bagi membantu siasatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Utara, Superintenden C. Tharmalingam berkata, ketika ini, suspek sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) susulan kecederaan yang dialaminya di bahagian kepala selepas ditahan semalam.
Katanya, siasatan awal mendapati, ketika kejadian, suspek dan ibunya baru sahaja pulang ke rumah iaitu di Jalan Pekan Darat di sini sebelum berlaku perselisihan faham antara kedua mereka.
“Mangsa yang juga ibu saudara suspek dikatakan cuba untuk meleraikan pergaduhan itu, namun, suspek tiba-tiba menjadi berang dan bertindak menikam mangsa yang berusia 80 tahun itu sehingga mati. Ibu suspek turut ditolak sehingga terjatuh sebelum dia keluar dari rumah terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Tharmalingam memaklumkan, ibu suspek yang berusia sekitar 70-an itu dirawat di Hospital Kepala Batas (HKB) dan ketika ini, wanita berkenaan telah dibenarkan pulang.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati, dia negatif dadah dan polis kini sedang menunggu laporan lengkap daripada doktor bagi mengenal pasti sama ada suspek mengalami masalah mental atau sebaliknya,” katanya.
Terdahulu, seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Rosli, 50-an berkata, dia mengenali mangsa sebagai seorang insan yang baik hati dan peramah.
“Sebelum ini, arwah kerap ke kedai dengan menaiki basikal dan setiap kali terserempak, kami akan berbual dan bertanya khabar memandangkan dia tinggal sendirian di Kampung Gelung Bubu.
“Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, dia kurang sihat dan hanya memesan barangan yang selalunya akan dibeli oleh anak saudaranya,” kata Rosli yang memberitahu, mangsa dikenali dengan panggilan Che Dah.
Difahamkan, jenazah mangsa telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Darat selepas solat Isyak malam tadi.
Semalam, media melaporkan bahawa, cubaan seorang wanita warga emas untuk meleraikan pergaduhan antara dua beranak berakhir dengan tragedi apabila dia maut ditikam di kepala dengan gunting.
Dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia.-UTUSAN










