Lelaki tahan kereta dekat Kesas dihadapkan ke mahkamah

Lelaki tahan kereta dekat Kesas dihadapkan ke mahkamah

G. Nagendaran dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lelaki yang dipercayai menghayun kayu dekat sebuah kereta dipandu seorang juruteknik di kawasan stesen minyak Lebuhraya Shah Alam (Kesas) minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Bagaimanapun, tertuduh, G. Nagendaran, mengaku tidak bersalah sejurus selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.

Berdasarkan pertuduhan, Nagendaran, 32, didakwa me­lakukan khianat dengan merosakkan cermin kereta jenis Toyota Estima milik seorang wanita berusia 37 tahun dekat luar sebuah stesen minyak di Lebuhraya Kesas, Subang Jaya kira-kira pukul 1 pagi, 7 Ogos lalu.

Justeru, dia dituduh mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, sekiranya disabitkan kesalahan.

Nagendaran juga mengaku tidak bersalah bagi satu pertuduhan lain memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam dirinya di balai polis USJ 8, Ibu Pejabat Daerah Su­bang Jaya pada pukul 5 petang, 8 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya.

Sabit hukuman boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda tidak lebih RM5,000 serta menjalani perintah pengawasan polis hingga tiga tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran menawarkan jaminan keseluruhan RM9,000 bersama seorang penjamin.

Bagaimanapun, Peguam M. Partiben mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan susulan anak guamnnya menanggung isteri dan dua anaknya serta ibu bapa yang uzur.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan keseluruhan RM5,600 bersama seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 12 November depan.

Sebelum ini, sekumpulan individu dilaporkan diburu selepas terlibat dalam cubaan menyamun seorang juruteknik wanita berhampiram sebuah stesen minyak di Lebuhraya Kesas, dekat sini, berjaya diberkas polis dalam serbuan berasingan pada 7 Ogos lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×