AMPANG: Seorang pekerja hotel mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini bagi pertuduhan melanggar dua anggota polis trafik dan dua individu lain, lima bulan lalu.
Tertuduh, Mohamad Syazwan Abdul Halim, 29, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Amalina Basirah Md. Top.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta secara tidak cermat dan memberikan perhatian yang sepatutnya terhadap penunggang motosikal, Sarjan Syafiqah Arinah Mohamed Anwar, 30, dan Koperal Mohd. Hasrul Aswad Mohd. Shukri, 34, di persimpangan lampu isyarat, Jalan Pandan Indah Utama di sini pukul 9 pagi, 21 Mac lalu.
Dua lagi penunggang motosikal yang menjadi mangsa pelanggaran itu ialah kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Wan Ariff Danial Wan Ahmad Sofian, 31, dan orang awam, Nurul Syahiera Zaiful Azar, 31.
Mohamad Syazwan didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 serta boleh dipenjara maksimum 12 bulan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 14 Oktober ini untuk jatuh hukum sementara menunggu laporan penuh perubatan kesemua mangsa.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani mencadangkan tertuduh diikat jamin RM7,000 sementara menunggu mendapatkan laporan perubatan keempat-empat mangsa.
Sementara itu, peguam bela, Wan Nur Afifah Che Bakar mewakili tertuduh memohon jaminan antara RM3,000 hingga RM4,000 kerana dia perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan adik ipar berumur 22 tahun.
Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Majistret Amalina membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,800 dengan seorang penjamin. – UTUSAN