Laporan bedah siasat Nidza Afham diperoleh seawal petang ini - KPN - Utusan Malaysia

Laporan bedah siasat Nidza Afham diperoleh seawal petang ini – KPN

Nidza Afham
RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Laporan bedah siasat jenazah abang kepada penyanyi, Aufahanie, Nidza Afham yang ditemukan terapung berhampiran Jambatan Kota, Sungai Klang dijangka diketahui pada petang ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menunggu laporan tersebut untuk menentukan jika terdapat sebarang unsur jenayah dikaitkan dengan kejadian tersebut.

“Kita masih dalam siasatan, kita tunggu (laporan) bedah siasat, sebab kita nampak telefonnya ada cuma kad (bank) hilang. Telefon ada (ditemukan) di jambatan.

“Jadi, kita tunggu siasatan daripada laporan bedah siasat. Belum diperolehi lagi, mungkin petang ini. Ketua Polis Selangor (Datuk Hussein Omar Khan) akan maklumkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kor Sukarelawan Polis Siswa (SUKSIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.

Beliau menambah, laporan bedah siasat diperlukan untuk membantu siasatan polis selain keterangan-keterangan daripada saksi-saksi kejadian.

Terdahulu, Hussein mengesahkan penemuan mayat kira-kira pukul 7 petang semalam di lokasi berkenaan adalah Nidza Afham atau nama sebenarnya Muhammad Nidza Afham Mokhtar yang dilaporkan hilang sejak kelmarin.

Allahyarham dilaporkan hilang kira-kira pukul 7.45 malam kelmarin selepas keluar dari rumah di Bandar Puteri Klang untuk beriadah di Stadium Sultan Sulaiman dengan menaiki kenderaan perkhidmatan e-hailing (InDrive).

Bagaimanapun, teman wanitanya memberitahu Nidza Afham, 23, gagal dihubungi sebelum telefon bimbit serta dompetnya ditemukan di atas Jambatan Kota.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, susulan itu, adiknya kemudian tampil di Balai Polis Klang membuat laporan kehilangan abangnya yang juga penyanyi itu kira-kira pukul 4.22 pagi semalam.

“Teman wanitanya mendapati lokasi terakhir keberadaannya melalui aplikasi Find My iPhone adalah di Jambatan Kota berdekatan Majlis Bandaraya Diraja Klang. Adiknya juga pergi ke lokasi tersebut dan menemukan sebuah telefon bimbit iPhone dan dompet milik abangnya.

“Dompet berkenaan berisi dokumen seperti kad pengenalan dan kad pelajar milik Nidza Afham, namun kad ATM mangsa, hilang,” jelasnya.

Nidza Afham pernah menyertai rancangan realiti Can See Your Voice 3, sebelum melancarkan single berjudul Ternyata Bukan Aku. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×