KP Jabatan Laut didakwa perdaya bekas atasannya - Utusan Malaysia

KP Jabatan Laut didakwa perdaya bekas atasannya

Jabatan Laut
MOHAMAD Halim Ahmed dihadapkan di Mahkamah Sesyen bagi pertuduhan memperdaya bekas Ketua Pengarah Laut Jabatan Laut Malaysia pada Oktober 2020, di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ketua Pengarah Laut, Jabatan Laut Malaysia, Kapten Mohamad Halim Ahmed dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan menipu bekas ketua pengarah terdahulu berhubung kebenaran kapal membawa heavy grade oil di perairan negara pada Oktober 2020.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Halim, 57, didakwa menipu bekas Ketua Pengarah Jabatan Laut, Datuk Baharin Abdul Hamid apabila memperdayanya dengan mengemukakan Surat Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Surat tersebut menyatakan Menteri Pengangkutan pada 22 Oktober 2020 memutuskan bagi syarikat-syarikat perkapalan yang diberikan pengecualian untuk membawa heavy grade oil di dalam perairan Malaysia perlu dikekalkan mengikut tarikh yang diluluskan.

Sedangkan tiada kelulusan sedemikian diberikan dan dengan itu menyebabkan Baharin mengeluarkan surat pengecualian kepada syarikat-syarikat perkapalan yang berkenaan yang mana beliau tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan dekat pejabat Jabatan Laut, Pelabuhan Klang ketika tertuduh bertugas sebagai Setiausaha Bahagian Maritim, Kementerian Pengangkutan pada waktu berkenaan.

Oleh demikian, beliau dituduh melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Feisal Mohd. Azmi dan Muaz Ahmad Khairuddin bagi pihak pendakwaan menawarkan jaminan terhadap tertuduh dengan nilai dicadangkan sebanyak RM50,000 hingga RM70,000.

“Pendakwaan juga memohon tertuduh mematuhi syarat tambahan iaitu penyerahan pasport antarabangsa untuk disimpan selamat oleh mahkamah, lapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan dan larangan mengganggu saksi-saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam mewakili Mohamad Halim, Farhan Read dan Zalia Eleena Redza membantah jaminan yang tinggi apabila menyatakan kes yang dihadapi anak guamnya tidak melibatkan nilai kerugian dan mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000.

“Selain itu, saya juga memohon mahkamah melihat keperluan mematuhi syarat tambahan termasuk penyerahan pasport kerana tawaran jaminan hanya untuk memastikan tertuduh menghadiri perbicaraan,” jelasnya.

Namun, Ahmad Feisal dalam balasannya memberitahu pasport tidak lagi menjadi hak mutlak tertuduh apabila dituduh di mahkamah dan syarat tambahan di samping jaminan adalah tertakluk kepada budi bicara mahkamah selepas dicadangkan oleh pendakwaan.

Hakim Anita kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen pada pukul 9 pagi 7 Oktober depan sebelum memutuskan jumlah jaminan dan syarat tambahan.

“Saya benarkan ikatan jamin sebanyak RM20,000 (kepada tertuduh) dengan seorang penjamin. Pematuhan syarat tambahan dikenakan SPRM serta melapor diri di Pejabat SPRM Selangorn pada setiap bulan.

“Bagi simpanan pasport (termasuk pasport rasmi kerajaan) pula, tertuduh boleh membuat permohonan pengembalian pasport untuk melakukan perjalanan ke luar negara. Selain itu, tertuduh juga dilarang kacau ganggu saksi-saksi pendakwaan,” perintahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN