Kementerian Ekonomi, MOT kerjasama transformasi pengangkutan awam

Kementerian Ekonomi, MOT kerjasama transformasi landskap pengangkutan awam

RAFIZI Ramli dan Anthony Loke dalam sidang akhbar bersama di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi sedang bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam melaksanakan komitmen untuk mentransformasi landskap pengangkutan awam di Malaysia, dengan memberi penekanan khusus di Lembah Klang.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, berdasarkan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030, kerajaan menyasarkan untuk mencapai 40 peratus penggunaan pengangkutan awam menjelang 2030.

“Bagi mencapai sasaran ini, Kementerian Ekonomi bersama MOT telah menjalankan satu bengkel strategik pada 17 Mei lalu, bagi mengenal pasti pelaburan utama yang diperlukan untuk meningkatkan dan memperluaskan rangkaian pengangkutan awam.

“Sejajar dengan itu, sebuah pelan komprehensif sedang dibangunkan merangkumi strategi pelaburan dan pelan pelaksanaan yang menyeluruh. Pelan ini telah dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 1 Julai lalu,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di sini hari ini.

Rafizi berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan peningkatan tiga aspek utama dalam pengangkutan awam iaitu perkhidmatan bas, rangkaian rel, dan ketersambungan ‘first and last mile’ yang bersepadu.

Menurut beliau, untuk perkhidmatan bas, usaha tersebut akan meliputi pengembangan ketersambungan dan liputan, peningkatan ketersediaan dan konsistensi, serta memperkenalkan lorong khas bas bersama sistem Kuala Lumpur Autonomous Rail Transit (KL ART) dan Bus Rapid Transit (BRT).

“Kerajaan akan menaik taraf hentian bas, laluan pejalan kaki, serta memperkenalkan Demand-Responsive Transit (DRT), perancang perjalanan bersepadu dan pilihan mikromobiliti bagi memastikan ketersambungan yang lebih lancar dan cekap,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, bagi mencapai 80 peratus penggunaan landasan kereta api di Semenanjung menjelang 2030, kerajaan sedang merangka untuk meningkatkan perkhidmatan tren penumpang di Malaysia secara berfasa antara 2024 hingga 2030.

“Kita menyasarkan jumlah tren penumpang yang beroperasi di seluruh negara mencapai 299 tren penumpang.

“Inisiatif-inisiatif yang dikenal pasti dalam pelan ini akan dilaksanakan secara berperingkat, memastikan pendekatan yang teratur, selaras dengan matlamat ekonomi dan pembangunan negara.

“Usaha ini akan menjadi salah satu tumpuan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan diperkenalkan pada tahun hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN