KOTA KINABALU: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani di negeri yang dikuasai Pas, memberi petanda kebangkitan semula BN di Kelantan.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kemenangan calon BN itu membawa signifikasi tersendiri terhadap kebangkitan semula BN khususnya di negeri yang merupakan kubu kuat Pas.
Beliau berkata, kemenangan itu merupakan titik mula kebangkitan BN di Kelantan dan di seluruh negara.
Katanya, BN sudah kembali bangkit dalam persada politik tanah air khususnya untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“PRK kali ini bukan pilihan raya biasa kerana Kelantan seperti diketahui umum kubu kuat Pas. Kebangkitan rakyat mula ditunjukan dalam PRK DUN Nenggiri kali ini yang membawa mesej rakyat bangkit menuntut perubahan terutamanya dari aspek pembangunan yang gagal dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kelantan.
“Melalui kemenangan BN ini, kita juga perlu istiqamah tidak perlu bermegah-megah tapi seharusnya berazam dan bekerja keras. Mandat baharu rakyat bermula di Nenggiri perlu diterjemahkan dengan kerja keras untuk terus memperkasakan dan merakyatkan BN/UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada PRK DUN Nenggiri, calon BN, Mohd Azmawi menewaskan calon Pas mewakili Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail dengan majoriti 3,372 undi.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, kemenangan BN pada PRK kali ini harus menjadi pembakar semangat untuk UMNO Sabah bekerja keras dalam berhadapan PRN Ke-17 akan datang.
“Banyak pengalaman yang kita perolehi dari sudut gerak kerja kempen serta melihat isu-isu domestik terutamanya dalam isu pembangunan infrastruktur asas di kawasan ini yang tidak jauh bezanya dengan di Sabah. Ini yang akan kita aplikasikan dalam gerak kerja kempen pada PRN Sabah,” katanya.
Rakyat di DUN Nenggiri menolak Pas kerana kegagalan kerajaan negeri membangunkan negeri tersebut dan keadaan itu tidak jauh bezanya dengan situasi dihadapi rakyat Sabah hari ini.
Kata beliau, kerajaan Sabah telah gagal dalam merealisasikan slogan ‘Sabah Maju Jaya’ ketika rakyat impikan perubahan yang besar dibawa oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Tidak mustahil rakyat Sabah akan bangkit melakukan perubahan sebagaimana yang berlaku di DUN Nenggiri. Rakyat mula memikirkan banyak kebaikan dan kemajuan dicapai semasa BN memerintah berbanding kerajaan sekarang,” katanya. –UTUSAN










