SHAH ALAM: Kebanyakan mahasiswa yang menjadi ‘keldai akaun’ untuk tujuan penipuan dalam talian dipercayai terperangkap atau menjadi mangsa sindiket tersebut menyebabkan ia digunakan bagi kegiatan tersebut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, beliau yakin mahasiswa tidak sewenangnya dengan sengaja memberikan maklumat perbankan mereka kepada sindiket tersebut melainkan terpengaruh dengan pelbagai skim yang sebenarnya merupakan scammer.
“Ada juga, kita percaya yang mana mahasiswa juga kena scam, bukan sengaja beri nombor akaun kepada scammer.
“Pengalaman saya di Perak dahulu, memang mahasiswa tidak faham dan memberi nombor akaun dan dijadikan sebagai keldai akaun,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kor Sukarelawan Polis Siswa (SUKSIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilapor mendedahkan lebih 208,000 keldai akaun yang digunakan untuk tujuan penipuan dalam talian dengan sebahagiannya milik penuntut institut pengajian tinggi (IPT).
Golongan terbabit dikatakan berisiko terdedah menjadi keldai akaun kerana mereka mudah terpedaya dan terpengaruh dengan wang ringgit.
Menurutnya, mahasiswa yang terlibat adalah golongan rentan dan mudah terpedaya apabila diumpan dengan bayaran RM100, RM500 dan RM1,000 untuk mendapatkan akaun bank mereka.
Dalam pada itu, Razarudin memaklumkan SUKSIS boleh memainkan peranan sebagai mediator antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang awam khususnya mahasiswa dalam usaha menangani jenayah penipuan terutama bagi golongan itu.
“Yang itu, memang kita pun harap begitu. Kor SUKSIS menjadi orang tengah atau mediator kepada PDRM sendiri dan mereka diberi pengetahuan tentang undang-undang untuk membantu kita.
“Terdapat juga maklumat, apabila mahasiswa Kor SUKSIS balik ke tempat asalnya (kampung) bercuti, ada juga maklumat yang disampaikan oleh mereka membantu kita di daerah-daerah,” ujarnya. – UTUSAN









