BANDAR BAHARU: Penggerak projek kuari batu yang beroperasi di Kampung Padang, Mukim Sungai Kechil, di sini didapati melakukan pelanggaran beberapa syarat kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, antara kesalahan itu adalah ketiadaan papan tanda yang menunjukkan tiga kolam sedimen dan label takat pelepasan akhir serta ketiadaan pegawai alam sekitar yang kompeten dilantik bagi mengawal selia tapak kuari.
Menurutnya, pelanggaran syarat EIA juga dikesan bagi tolok hujan yang diletakkan di tempat tidak sesuai kerana terhalang bumbung pejabat serta ketiadaan rekod curahan hujan di tapak terbabit.
“Ekoran itu, satu Arahan di Lapangan (Field Citation) telah dikeluarkan semasa siasatan kami semalam sebelum disusuli dengan Notis Arahan di bawah Seksyen 31, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
“Sekiranya gagal mematuhi notis dalam tempoh ditetapkan, penggerak projek akan diambil tindakan lanjut termasuk Arahan Berhenti Kerja dan tindakan di bawah Seksyen 34A(7) AKAS 1974 yang boleh membawa penalti antara RM100,000 sehingga RM1 juta dan mandatori penjara sehingga lima tahun.
“Penggerak projek juga telah diarahkan melaksanakan langkah pembetulan dan tapak kuari itu akan diperiksa semula oleh JAS selepas ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia terhadap keluhan kira-kira 250 penduduk di kampung itu yang merayu kerajaan negeri atau pihak berkaitan mengkaji semula operasi sebuah kuari berhampiran penempatan mereka.
Penduduk mendakwa aktiviti kuari yang dijalankan sejak setahun lalu itu bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup mereka, malah mengundang pelbagai risiko bahaya kesan letupan batu yang dilakukan.
Salah seorang penduduk, Abu Rahim Embi, 61, mendakwa, rumahnya serta penduduk lain rosak akibat impak letupan berkenaan, bahkan mereka terpaksa berdepan dengan masalah debu yang berpunca dari tapak kuari itu.
Tambah Sharifah Zakiah, pemeriksaan penguatkuasa JAS mendapati kawalan habuk telah dilaksanakan oleh penggerak projek seperti menjalankan siraman air ke atas permukaan jalan di dalam dan di luar kawasan tapak kuari.
“Selain itu, stesen cucian tayar kenderaan juga disediakan di pintu masuk bertujuan mengurangkan kesan habuk dan debu sebelum dibenarkan keluar menggunakan jalan awam. Permukaan jalan juga kelihatan basah semasa pemeriksaan dijalankan.
“Selain itu penggerak projek perlu lebih kerap melakukan penyiraman air dalam keadaan cuaca panas dan kering ini serta perlu dibuat secara konsisten,” ujarnya.
Tambahnya, Laporan EIA bagi kuari tersebut telah diluluskan pada 7 Ogos 2017 dan didapati mematuhi syarat-syarat EIA ketika pemeriksaan JAS pada Januari lalu.
“Kuari ini juga mematuhi zon penampan minima iaitu sekurang-kurangnya 500 meter ke reseptor sensitif seperti kediaman. Sejak kelulusan diberi, JAS Kedah melakukan penguatkuasaan berkala ke atas kuari ini,” ujarnya. – UTUSAN







