Kanak-kanak ditemukan mati, remaja lelaki ditahan - Utusan Malaysia

Kanak-kanak ditemukan mati, remaja lelaki ditahan

MOHD. Khaizam Ahmad Shahabudin (depan) dalam sidang akhbar di IPD Sungai Siput hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Polis menahan seorang suspek lelaki dalam lingkungan umur 17 tahun bagi membantu siasatan kes kematian kanak-kanak Orang Asli, Nuraina Humaira Rosli, 10, di sini.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, suspek yang ditahan petang tadi mempunyai hubungan pertalian darah dengan mangsa.

Beliau juga berkata, difahamkan oleh keluarga mangsa Nuraina Humaira yang merupakan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu juga mempunyai masalah pendengaran dan lembam.

Mohd. Khaizam berkata, berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sungai Siput (U), terdapat kesan tekanan di bahagian leher dan juga kesan koyakan di kemaluan mangsa.

“Kes masih dalam peringkat awal siasatan. Kita akan panggil beberapa lagi orang untuk memberi keterangan bagi membantu kes ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut kenyataan polis, hasil siasatan awal mendapati tempat terakhir kanak-kanak tersebut kelihatan adalah di Surau Madrasah Darulsalam yang jaraknya kurang 100 meter dari rumah keluarganya.

Mayat mangsa dijumpai oleh pihak polis pada pukul 4.20 petang Sabtu dalam keadaan terbaring di kawasan paya Kampung Bersah, Kampung Kuala Mu, Sungai Siput.

Mengikut laporan sebelum ini, mangsa dikatakan hilang ketika bermain di sekitar perkampungan terbabit pada Jumaat lalu sebelum didakwa hilang.

Jelas Mohd. Khaizam lagi, kes itu disiasat sebagai kes bunuh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan beliau meminta orang yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Bapa mangsa, Rosli Mahadi, 48, sebelum ini mendakwa kawasan tempat jasad anaknya ditemui itu adalah kawasan yang sering dijauhi oleh penduduk kampung kerana banyak haiwan liar terutama ular. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN