KUALA TERENGGANU: Seramai tujuh hingga lapan juta pelancong dijangka mengunjungi Terengganu iaitu melebihi sasaran awal 4.5 juta pelancong pada tahun ini.
Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, jumlah pelancong yang direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini telah mencapai 5.2 juta orang.
Menurutnya, kerajaan negeri sedang merangka program dan aktiviti menarik bagi mengalakkan kedatangan pelancong ke Terengganu termasuk pada musim Monsun Timur Laut (MTL)
Katanya, persepsi aktiviti pelancongan dikurangkan semasa MTL di Terengganu perlu diubah kerana terdapat tempat pelancongan menarik lain yang dapat ditawarkan kepada pelancong seperti Tasik Kenyir
“Jadi saya yakin akan ada pertambahan (kehadiran pelancong) dalam 40 hingga 50 peratus lagi.
“Insya-Allah, mungkin akan cecah seramai tujuh hingga lapan juta pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran De Rantau@Terengganu di Kampung Budaya Terengganu, di sini, hari ini.
Razali memberitahu, program DE Rantau@Terengganu yang diperkenalkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) juga akan melonjakkan lagi kehadiran pelancong di negeri ini.
Katanya, program DE Rantau bertujuan untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan nomad digital di Asia Tenggara yang inginkan suasana tenang dan keindahan budaya.
“Terengganu yang menawarkan gabungan unik pantai yang indah, warisan budaya yang kaya, dan kecantikan alam semulajadi, menjadikannya tempat pilihan untuk nomad digital,” ujarnya. – UTUSAN










