JOHOR BAHRU: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain sebagai pemimpin UMNO yang kuat dan rajin bekerja.
Ka Siong yang juga Pengerusi MCA Johor itu berkata, sumbangan Sharifah Azizah amat besar kepada parti dan akan diingati sampai bila-bila.
“Takziah buat ahli keluarga kepada Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, ADUN Mahkota, Johor yang telah meninggal dunia hari ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat,” tulis Ka Siong menerusi hantaran dalam Facebook, hari ini.
Katanya, sebagai Ahli Parlimen dari Johor, beliau melihat sendiri bagaimana Allahyarham kuat bekerja untuk membela nasib rakyat di kawasannya.
“Pemergian beliau pastinya dirasai bukan sahaja warga Mahkota, tetapi juga Johor khususnya kaum wanita.
“Sumbangan dan bakti beliau kepada masyarakat serta negara pasti akan diingati sampai bila-bila,” katanya.
Sharifah Azizah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini tengah hari tadi.
Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Kluang ialah bekas Ketua Wanita UMNO Johor.
Beliau menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.
Sebelum itu, Sharifah Azizah ialah ADUN Penawar, mulai 2018 hingga 2022 lalu. – UTUSAN







