PUTRAJAYA: Semua jabatan berkaitan khususnya Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) diarah bertindak menyelesaikan isu banjir lumpur di Sungai Merab, berdekatan Bandar Baru Bangi, Selangor.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, isu berkenaan adalah masalah yang patut diselesaikan kerana ia menjadi kebimbangan lebih 2,000 penduduk sekian lama apatah lagi bencana itu berlaku 12 kali dalam tempoh 14 tahun.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, beliau telah mengarahkan Ahli Majlis kawasan itu untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Perancang MpSepang pada Isnin ini.
“Saya minta Pusat Khidmat saya libatkan wakil Pejabat Tanah dan Daerah Sepang, juga Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melihat isu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan keluhan penduduk di situ yang terpaksa menghadapi banjir lumpur dan kejadian terburuk berlaku pada awal Julai dan 23 Ogos lalu sehingga memasuki kesemua 32 unit rumah di Desa Villa Merab setinggi satu kaki selepas hujan tanpa henti sekitar lebih satu jam.
Banjir dikesan surut dalam tempoh dua jam, namun kesannya meninggalkan lumpur setebal 6 sentimeter dalam rumah masing-masing, dan keadaan itu lah berlaku setiap kali dan telah mengakibatkan kerosakan harta benda sehingga mengalami kerugian lebih RM300,000.
Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Desa Villa Merab, Datuk Mohd Roslan Mahayudin, punca berlaku banjir lumpur ini akibat limpahan air dari bukit di sekeliling perumahan ini memandangkan topografi tanah di sini adalah kawasan berbukit yang sedang dibangunkan dengan projek hartanah dan eco pertanian.
Katanya, kesan limpahan air itu mengakibatkan Desa Villa Merab menerima risiko kerana ia merupakan kawasan yang paling landai.
Bencana ini turut mengakibatkan kawasan kampung berdekatan dilanda banjir walaupun terdapat parit di situ, namun penghujung parit itu didapati tertutup mengakibatkan air tersekat dan berlaku limpahan.
Penduduk mendakwa, pihaknya telah membuat aduan kepada MPSepang dan JPS sejak tahun 2022, namun sehingga hari ini tiada tindakan diambil.
Katanya, keadaan banjir kilat ini boleh diselesaikan sekiranya pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat membina satu terowong untuk mengalirkan air ke sungai merab, hanya sepanjang 50 meter bagi menampung limpahan air jika berlaku hujan lebat. – UTUSAN










