BAITULMAQDIS: Jawatankuasa Hal Ehwal Keselamatan Negara (NSAC) Israel mengarahkan tentera menggandakan serangan terhadap Gaza bagi memperkukuhkan kedudukan negara itu ketika sedang berlangsung rundingan gencatan senjata dan pertukaran tebusan.
Laporan laman web berita Israel, Walla semalam itu memetik sumber politik yang enggan dinyatakan.
NSAC adalah sebuah jawatankuasa Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
Langkah itu bertepatan dengan lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken ke Israel, ketika pegawai keselamatan menjangkakan beliau akan memberi tekanan besar kepada Tel Aviv untuk mencapai persetujuan dengan Hamas.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dari Israel berhubung perkara tersebut.
Rundingan gencatan senjata di Qatar, Doha, yang disertai AS, Mesir dan Israel berakhir Jumaat lalu dalam suasana yang positif, namun gagal mencapai kata persetujuan.
Satu kenyataan bersama dikeluarkan empat negara terlibat menyatakan, perbincangan berkenaan berjaya ‘merapatkan jurang’ antara Israel dan Hamas selaras dengan prinsip yang ditetapkan oleh Presiden AS Joe Biden pada 31 Mei lalu.
Menurut Biden, Israel ketika itu mengemukakan perjanjian tiga fasa yang akan menghentikan konflik di Gaza dan memastikan pembebasan tebusan Palestin yang ditahan.
Pelan itu membabitkan pelaksanaan gencatan senjata, pertukaran tebusan dan pembinaan semula Gaza.
Selama berbulan-bulan, AS, Qatar, dan Mesir berusaha membantu Israel dan Hamas mencapai persetujuan bagi memastikan pertukaran tahanan dan gencatan senjata serta membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza.
Namun, usaha itu terhenti ekoran keengganan Netanyahu memenuhi tuntutan Hamas yang menggesa perang dihentikan.=-AGENSI










