NEW DELHI: Kementerian Kesihatan India meluluskan peningkatan keselamatan di hospital-hospital di seluruh negara dan bersetuju menempatkan lebih ramai anggota polis di kemudahan berkenaan.
Arahan dikeluarkan Setiausaha Kesatuan Kesihatan, Apoorva Chandra itu turut memberi tumpuan kepada perkara asas seperti keselamatan di bilik rehat dan kerja-kerja membaik pulih serta memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV).
Chandra menambah, sebuah jawatankuasa dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan juga akan dibentuk bagi menjaga hal ehwal doktor.
Katanya, jawatankuasa itu akan mengkaji pelbagai aspek keselamatan hospital dan kemudahan untuk doktor pelatih termasuk bilik bertugas, waktu kerja dan syarat-syarat serta perkhidmatan kantin.
“Penempatan anggota polis tambahan akan dibuat berdasarkan permintaan pihak hospital selepas melalui beberapa penilaian keselamatan,” jelas beliau seperti dipetik portal berita Hindustan Times.
Dalam pada itu, Mahkamah Agung India memerintahkan penubuhan pasukan petugas kebangsaan doktor bagi membuat cadangan mengenai keselamatan di tempat kerja.
Mahkamah juga meminta polis persekutuan mengemukakan laporan mengenai status siasatannya terhadap pembunuhan doktor pelatih pada 9 Ogos lalu di sebuah hospital kerajaan di bandar timur Kolkata.
Berikutan jenayah itu, doktor di seluruh negara mengadakan bantahan dan enggan merawat pesakit bukan kecemasan sebagai sebahagian daripada tindakan mereka menuntut tempat kerja yang lebih selamat dan siasatan jenayah yang pantas.– AGENSI










