Imigresen bongkar penjaga kawasan ‘maklum’ operasi PATI - Utusan Malaysia

Imigresen bongkar penjaga kawasan ‘maklum’ operasi PATI

ANTARA tangkap layar ‘arahan’ dibongkar Imigresen dalam serbuan di sekitar Kajang, Isnin lalu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Blah semua, imigresen ambush.”

Itu ‘arahan’ penjaga kawasan melalui aplikasi WhatsApp komuniti di Kajang dekat sini berkaitan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Isnin lalu. 

Arahan itu dikesan hasil pemeriksaan pada telefon bimbit dibawa seorang PATI lelaki warga Indonesia.

Semasa pemeriksaan awal, PATI itu dikesan cuba memadam hantaran di grup WhatsApp sebelum disedari anggota operasi.

Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi dilaksanakan pihaknya di 36 premis termasuk di sekitar di Kajang, Cyberjaya dan Bandar Baru Bangi.

Katanya, operasi bermula pukul 2 petang itu menahan 34 PATI termasuk lima wanita selepas pemeriksaan 166 orang.

“PATI yang ditahan berusia antara 20 hingga 40 tahun terdiri daripada 12 Indonesia, Bangladesh (16), Myanmar (3), Nepal (2) dan seorang India.

“Kebanyakan mereka bekerja di restoran dan kedai runcit,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Antara kesalahan yang dikesan ialah masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit sah selain melanggar syarat pas.

Kesemua PATI dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN