Ikan yu paus masuk pukat nelayan di Pulau Kapas - Utusan Malaysia

Ikan yu paus masuk pukat nelayan di Pulau Kapas

DUA nelayan melepaskan seekor ikan yu paus yang terperangkap dalam pukat jerut mereka di Pulau Kapas, Marang, baru-baru ini. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perikanan Negeri Terengganu mengesahkan penemuan seekor yu paus atau nama saintifiknya ‘Rhincodon Typus’ di perairan Pulau Kapas dekat Marang seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, ikan itu terperangkap ketika nelayan tersebut sedang menangkap ikan menggunakan pukat jerut.

Menurutnya, jabatan telah menghubungi nelayan yang terlibat dan dimaklumkan kejadian itu berlaku pada 11 Ogos yang lalu.

“Bagaimanapun, seekor ikan yu paus telah memasuki ke dalam pukat tersebut, namun
tekong dan awak-awak mengeluarkan ikan tersebut daripada terperangkap.

“Kejadian itu dirakam kerana ia adalah pertama kali ikan tersebut masuk ke dalam pukat jerut dan dimuat naik dalam aplikasi tik tok untuk berkongsi pengalaman dengan ikan yu paus,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ruzaidi berkata, pihaknya
memuji langkah nelayan terlibat menyelamatkan spesies tersebut.

Jelasnya, yu paus adalah antara haiwan yang tersenarai di bawah Spesies Ikan Yang Dilindungi Di Bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999, Akta Perikanan 1985.

Menurutnya, sebarang kesalahan melibatkan senarai ikan terancam boleh dikenakan maksimum denda RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Jika mana-mana spesies ikan yang terancam ini ditangkap atau diambil dengan tidak sengaja semasa menangkap ikan, ia hendaklah dilepaskan dengan segera.

“Jika telah mati pula penangkapan atau pengambilannya itu hendaklah dilaporkan kepada pegawai perikanan dan perlu dilupuskan mengikut prosedur yang telah ditetapkan,” katanya.

Baru-baru ini, tular sebuah video di Tik Tok yang memaparkan sekumpulan nelayan menyelamatkan yu paus yang dipercayai terperangkap dalam pukat mereka.

Dua video berdurasi satu minit 41 saat itu sehingga kini telah menerima lebih 1.2 juta tontonan dan dikongsi ribuan pengguna Tik Tok yang lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN