Hias rumah dengan Jalur Gemilang sejak 10 tahun lalu

Hias rumah dengan Jalur Gemilang sejak 10 tahun lalu

ABDUL Hamid Hussin dan isteri, Juriah Semat tidak pernah gagal untuk menghiasi halaman rumah mereka di Titi Teras, Balik Pulau, Pulau Pinang dengan Jalur Gemilang setiap kali tibanya bulan kemerdekaan pada setiap tahun.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Sejak 10 tahun yang lalu, pasangan suami isteri, Abdul Hamid Hussin, 73, dan Juriah Semat, 60, tidak pernah gagal untuk menghiasi halaman rumah mereka di Titi Teras di sini dengan ratusan Jalur Gemilang dan bendera negeri Pulau Pinang.

Abdul Hamid, seorang pesara kerajaan juga tidak lokek untuk mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi memastikan halaman rumahnya sentiasa ceria dengan kibaran Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kemerdekaan.

Malah, hiasan Jalur Gemilang itu akan dibiarkan menghiasi halaman rumahnya sehingga tiba Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun.

Menurut Abdul Hamid, dia terpanggil untuk menghiasi halaman rumahnya dengan bendera bagi menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan negara.

“Ratusan ringgit memang diperuntukkan khas untuk membeli bendera-bendera kecil dan ada juga bendera yang saya simpan sejak daripada tahun-tahun sebelumnya.

“Saya akan mula menghiasi halaman rumah pada awal Ogos dan menambah bilangan bendera mengikut kesesuaian. Jika ada bendera yang rosak, saya akan segera gantikan dengan bendera baharu,” katanya di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, halaman rumahnya itu juga sentiasa menjadi tumpuan orang ramai untuk bergambar kerana mereka tertarik dengan dekorasi bendera kecil yang digantung di setiap sudut rumahnya.

“Memang ada yang bergambar di halaman rumah saya, saya pun tidak kisah kerana mahu berkongsi dengan mereka suasana kemeriahan bulan merdeka. Jadi, sebagai bekas tentera, saya rasa inilah sumbangan kecil saya kepada negara selepas bersara,” katanya.

Tambahnya, dia turut berharap orang ramai terutama generasi muda lebih menghayati semangat kemerdekaan negara ini.

“Bukan mudah bagi pejuang terdahulu memerdekakan negara ini daripada dikuasai penjajah sehingga kita dapat mencapai kemerdekaan. Oleh itu, orang muda perlu lebih menghargai kemerdekaan negara dengan menghormati asas pembinaan negara ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×